Kepulangan semula Zinedine Zidane selaku pengurus Real Madrid bermula dengan langkah kanan selepas Los Blancos berjaya menundukkan Celta Vigo 2-0 di Santiago Bernabeu.
Pada perlawanan yang berlangsung malam tadi, Zidane kembali membariskan pemain yang kurang mendapat tempat dihati pengendali terdahulu, Santiago Solari seperti Keylor Navas, Isco dan Marcelo di kesebelasan utama.
Dengan Navas kembali diletakkan sebagai penjaga gol utama, Thibaut Courtois yang sering dikecam hebat dijangka akan hanya memanaskan bangku simpanan hingga akhir musim.
Navas pantas membalas kepercayaan diberikan Zidane apabila berjaya menepis dengan baik bola tandukan oleh Maxi Gomez bagi menyelamatkan gawangnya dari dibolosi.
Jaringan pendahuluan oleh Luka Modric pada minit ke-56 dibatalkan oleh Video Assistant Referee (VAR) setelah Raphael Varane didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.
Usaha berterusan Real Madrid bagi merobek pintu gol skuad bimbingan Fran Escriba itu akhirnya membuahkan hasil pada minit ke-62.
Jaringan tersebut dihasilkan oleh Isco selepas beliau menolak masuk bola hantaran lintang dilakukan Karim Benzema untuk membuka tirai jaringan.
Berselang 15 minit kemudian, Gareth Bale mengukuhkan kedudukan dengan jaringan kedua hasil rembatan dalam kawasan penalti selepas menerima hantaran daripada Marcelo.
Keputusan 2-0 tersebut kekal hingga tamat permainan dan lebih menarik untuk diperkatakan adalah tiga pemain yang kembali diletakkan sebagai kebelasan utama Real Madrid memainkan peranan yang cukup baik.
Navas berjaya mengelakkan gawangnya dari dibolosi manakala Isco menemui sentuhan jaringan dan Marcelo beraksi dengan baik sekaligus mencipta bantuan jaringan terhadap gol yang dijaringkan oleh Bale.