Di antara Lang Merah dan Tok Gajah. Siapakah yang lebih layak bergelar naib juara Liga Super 2017? Selayang adalah medan penentuan juara. Di Kuantan, Pahang dan Kedah berentap bukan lagi mengenai kejuaraan, tetapi maruah pasukan masing-masing.
Pasukan pelawat, Kedah FA kini berada di tangga ke-2, sedang selesa dengan kelebihan 4 mata mengatasai tuan rumah pasukan Pahang FA.
Kedah tampil tanpa beberapa tongak utama termasuk 2 pemain import mereka yang tercedera. Tanpa Shazwan Zainon, Baddrol Bakhtiar, Mohd Ifwat, Liridon Krasniqi dan Ken Ilso, tampil dengan formasi 4-2-3-1.
Pahang juga melakukan sedikit perubahan, menyaksikan Joseph Kalang Tie dan juga Mohd Helmi Eliza Elias diberikan peranan untuk memulakan perlawanan dengan formasi 4-1-4-1.
Pengadil Nagor Amir Noor Mohamed diberikan tanggungjawab untuk mengendalikan perlawanan
Separuh Masa Pertama
Pahang terlebih dahulu memperolehi peluang terbaik untuk melakukan sesuatu seawal minit ke-5 dalam perlawanan ini.
Back heel bijak oleh Yamil Romero melepaskan Wan Zaharulnizam untuk berhadapan dengan penjaga gol Kedah, Mohd Farhan Abu Bakar.
Namun demikian, percubaan Wan Zaharulnizam lemah untuk bola terus ke dakapan Mohd. Farhan.
5 minit kemudian, giliran Kedah untuk menguji penjaga gol Pahang apabila Sandro melepaskan rembatan rendah dari luar kotak penalti, memaksa Mohd Helmi melayangkan badan untuk menyelamatkan keadaan.
Syafiq Ahmad menjadi pemain pertama mendapat layangan kad kuning dalam perlawanan ini selepas insiden dengan Heo Jaewon.
20 minit pertama perlawanan, Pahang jelas menguasai permainan dengan kehadiran Matheus Alves sering memberi masalah kepada pertahanan Pahang.
Minit ke-23 perlawanan menyaksikan lorongan daripada Joseph Kallang Tie menemui Wan Zaharulnizam di dalam kotak penalti.
Bagaimanapun Wan Zaharulnizam agak lambat bertindak sebelum menyaksikan percubaan beliau ditampan keluar oleh Mohd. Farhan.
Heo Jaewon menjadi pemain kedua mendapat layangan kad kuning selepas satu lagi insiden bersama Syafiq Ahmad.
Pahang jelas menguasai tempoh separuh masa pertama perlawanan menyebabkan Kedah melakukan pertukaran pemain dengan memasukkan Amirul Hisyam dalam satu percaturan taktikal untuk mengubah keadaan.
Minit ke-38, Kedah memperolehi peluang melalui sepakan percuma di luar kotak penalti Pahang. Namun percubaan terus Sandro dari sepakan percuma, terus ditangkap kemas Mohd. Helmi Elias.
Seminit kemudian, Azam Abdul Azih dilayangkan kad kuning selepas menjatuhkan Sandro yang sedang berlari bersama bola menuju gawang Kedah.
Bagaimanapun sekali lagi, percubaan terus Sandro dari sepakan percuma tidak menjadi.
Amirul Hisyam menjadi pemain ke-4 menerima layangan kad kuning selepas kekasaran ke atas Joseph Kalang Tie pada minit ke-43 perlawanan.
Lewat babak separuh masa pertama, gerakan menarik pasukan Kedah membebaskan Muhammad Akhyar, namun rembatan beliau ditampan oleh Mohd Helmi Elias.
Kedua-dua pasukan akhirnya menamatkan separuh masa pertama dengan kedudukan Pahang 0-0 Kedah.
Separuh Masa Kedua
Baddrol Bakhtiar dan Syazwan Zainon dibawa masuk oleh Nidzam Adhza pada separuh masa kedua ini.
Pahang terus menguasai perlawanan dengan gerakan dari Sumareh, Joseph Kallang Tie dan Wan Zaharulnizam cuba mencari ruang namun buntu untuk mengancam gawang gol Kedah.
Matthew Davies menjadi pemain ke-5 yang menerima layangan kad kuning dalam perlawanan ini selepas terjahan lambat terhadap kapten Kedah, Khairul Helmi.
Kedah hampir berada di hadapan apabila rembatan deras Sandro secara tiba-tiba dari jarak lebih kurang 30 meter, hampir memerangkap penjaga gol Mohd Helmi yang agak terkeluar dari posisi sebelum bola menyinggah di atas palang.
Minit ke-65 perlawanan, Yamil Romero akhirnya berjaya meletakkan pasukan Pahang di depan dengan satu jaringan back heel selepas menerima bola hasil tandukan Matheus Alves.
Pahang menghasilkan deretan peluang selepas itu,namun gagal mengambil kesempatan untuk menambah jaringan gol.
Mohd. Farhan juga wajar dipuji kerana berjaya menampan atau pun mengawal hantaran tinggi di kawasan kotak penalti beliau., termasuk ketika satu lawan satu dengan Mohamodou Sumareh.
Sandro menjadi pemain seterusnya untuk menerima kad kuning daripada pegawai perlawanan selepas didakwa melakukan simulasi di dalam kotak penalti Pahang.
Dua pertukaran oleh pasukan Pahang pada minit ke-75, mengeluarkan Kiko Insa dan juga Joseph Kalang Tie dan memasukkan Ashari Samsuddin dan Mohd Saifulnizam.
Kedah turut mempunyai peluang untuk menyamakan peluang melalui Baddrol Bakhtiar pada minit ke-76 pelawanan, namun Baddrol agak gopoh sehingga akhirnya percubaan beliau sekadar memudahkan tugas Mohd Helmi di hadapan gawang Pahang.
Minit ke-78, Kedah akhirnya menyamakan kedudukan melalui jaringan cantik Syafiq Ahmad, melepaskan diri dari terjahan seorang pemain Pahang sebelum rembatannya dari luar kotak penalti menemui belakang jaring gol Pahang.
Kegagalan Zac Anderson menampan kemas bola di dalam kotak penalti sendiri dihukum oleh Matheus Alves yang mencuri bola sebelum meletakkan bola di belakang gawang untuk gol kedua pasukan Pahang di Stadium Darul Makmur pada malam ini.
Minit ke-80 perlawanan, Pahang kembali berada di hadapan dengan kedudukan 2-1.
Pengadil memberikan 3 minit masa kecederaan, namun kedua-dua pasukan gagal menambah sebarang jaringan. Wisel perlawanan ditiup, dan Pahang memastikan 3 mata milik mereka pada malam ini.
Rumusan
Ini adalah salah satu perlawanan yang hadir dengan tempo menarik dengan deretan peluang jaringan disia-siakan oleh kedua-dua pasukan.
Kedah kekal di tangga ke-2 Liga Super, namun dipisahkan hanya dengan 1 mata daripada pasukan Pahang.
3 lagi baki perlawanan yang akan datang akan menentukan, siapakah di antara kedua-dua pasukan lebih layak untuk berada di kedudukan yang lebih tinggi di dalam saingan Liga Super 2017.