Pengurus Derby County, Frank Lampard pasrah akan dakwaan yang diberikan oleh Football Association kerana salah laku sehingga diarahkan keluar dari kawasan teknikal dalam perlawanan Championship menentang Rotherham.
Lampard dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-77 perlawanan pada Sabtu lalu, turut menyaksikan pasukan bimbingannya tewas 1-0.
Pengurus berusia 40 tahun tersebut sebelum itu melakukan protes terhadap satu insiden bola yang terkena tangan.
Sebelum itu, Lampard turut tidak berpuas hati dengan layangan kad merah kepada pemain tengah, Tom Lawrence dan sepakan penalti yang diberikan kepada lawan.
Lampard dijangka akan didenda, tetapi tidak akan digantung daripada berada di kawasan teknikal oleh Football Association kerana kesalahannya itu.
“Saya harus membuka balik buku peraturan dan mengkajinya semula. Ini kerana saya tidak mahu meninggalkan perlawanan ketika ianya sedang berlangsung,” ujar Lampard ketika ditemuramah wartawan selepas perlawanan tersebut.
“Saya berdukacita dengan insiden bola terkena tangan. Jika peraturan tersebut sedemikian rupa, mungkin akan lebih ramai pengurus akan dilayangkan kad merah di setiap perlawanan.
“Saya suka berkomunikasi dengan pegawai perlawanan. Dan dalam perlawanan tersebut, jelas tidak ada komunikasi dua hala di antara pengurus dan pengadil.
“Lawan diberikan sepakan penalti, dan ia keputusan yang boleh dipersoal. Manakala kami tidak diberikan penalti untuk kesalahan sama yang dilakukan oleh lawan,” jelas Lampard lagi.