Pengurus Chelsea, Lampard telah mencabar penjaga gol Chelsea, Kepa Arrizabalaga untuk bangkit semula. Ianya selepas penjaga gol itu disisihkan daripada kesebelasan utama.
Lampard menyisihkan Kepa Arrizabalaga kerana prestasi tak menentu pemain itu di atas padang. Malah Lampard dilaporkan ada meminta dana untuk mendapatkan penjaga gol baharu. Antara pemain yang dikaitkan dengan Chelsea ialah Nick Pope.
Namun pengurusan tertinggi Chelsea dilaporkan tidak merestui permintaan Lampard itu kecuali beliau dapat menjual Kepa Arrizabalaga dengan nilai sekurang kurangnya £71 juta, angka yang mereka bayar untuk penjaga gol itu sebelum ini.
Menjelang pertemuan dengan Manchester United pada Isnin ini, diikuti aksi berhadapan dengan Spurs pada Sabtu akan datang, Lampard menganggap ia adalah perlawanan penting yang bakal menentukan pasukan empat teratas.
Lampard menyatakan adalah normal untuk Kepa Arrizabalaga kelihatan sedih ketika disihkan.
“Ianya adalah hari pemilihan pasukan seperti biasa, dan saya mahukan setiap pemain memberikan reaksi terbaik.”
“Saya faham perasaan beliau ketika disisihkan, kerana ia sangat bermakna untuk beliau [mahu berada di dalam kesebelasan utama]. Namun semua pemain akan disisihkan kecuali, mungkin Messi atau Ronaldo.”
“Saya tak jangka pemain akan senyum apabila nama mereka digugurkan.”
“Dengan persaingan di dalam skuad kami pada hari ini, kamu harus sedar, jika standard kamu jatuh, jika pengurus menggugurkan nama kamu atas apa sahaja alasan, kamu sebagai pemain harus memberikan respon yang sebaiknya.”
Lampard berharap Kepa Arrizabalaga akan kembali ke prestasi terbaik dalam usaha untuk membantu Chelsea mara ke UCL pada musim hadapan.