LaLiga Jalin Kerjasama Dengan Hijau Kuning FC Bangunkan Bola Sepak Kedah

Pembangunan bola sepak di negeri Kedah dilihat mula mengorak langkah lebih maju apabila terbaharu mereka telah pun menjalin kerjasama bersama LaLiga.

Kerjasama itu terhasil menerusi kelab pembangunan bola sepak negeri tersebut iaitu Hijau Kuning FC (HKFC) pada dua hari lalu bersama LaLiga yang telah pun dimeterai di Madrid, Sepanyol.

Sebelum itu, HKFC telah pun ditubuhkan pada tahun lalu, berdasarkan cetusan idea ‘Projek Menjelang 2000’ yang diperkenalkan oleh bapa pembangunan bola sepak Kedah iaitu Allahyarham Datuk Paduka Haji Ahmad Basri Bin Mohd Akil pada tahun 2021.

Tujuan utama HKFC ditubuhkan adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain bola sepak profesional untuk Kedah dan skuad kebangsaan pada masa hadapan.

Kelab ini juga merupakan rakan strategik bersama pasukan Liga Super, Kedah Darul Aman (KDA) dalam membangunkan bakat-bakat baharu negeri tersebut sejak penghujung tahun lalu.

Tujuan kerjasama itu dibuat adalah untuk membangunkan lagi bakat-bakat muda di Malaysia dengan struktur lebih profesional pada masa akan datang.

Majlis kerjasama tersebut dihadiri oleh Octavi Anoro selaku Pengarah Pembangunan Antarabangsa LaLiga, Duta Malaysia di Sepanyol iaitu Dato’ Akmal Che Mustafa, serta Muhammad Talhah Zainol sebagai Presiden HKFC.

Menerusi kerjasama yang terjalin, LaLiga akan berkongsi kepakaran serta pengalaman mereka bersama wakil kelab dari Malaysia itu.

Untuk fasa pertama, tiga kelab Sepanyol bakal terlibat untuk berkongsi kepakaran dari segi pembangunan akademi remaja mereka iaitu Atletico Madrid, RCD Espanyol, dan CD Leganes.

Ketiga pasukan tersebut bakal bekerjasama bersama HKFC di lokasi berbeza dengan pengendali tempatan kelab itu bakal melibatkan diri sekali dalam program yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Perjanjian yang termeterai itu bakal berjalan selama dua tahun dan tamat pada Julai, 2024 dengan tiga fasa bakal dilalui HKFC untuk menjalani program pembangunan tersebut bersama LaLiga.

“HKFC jelas sangat bangga untuk menandatangani perjanjian bersama LaLiga yang dilihat dapat menaikkan mutu kejurulatihan, pengurusan teknikal, serta meningkatkan lagi program pembangunan akar umbi.

“Pihak kami juga sangat yakin mengenai kemampuan LaLiga untuk mengembangkan lagi program kami dalam masa dua tahun perjanjian yang dibentuk ini.

“Apa yang mereka akan kongsikan adalah program kejurulatihan dengan kaedah mereka tersendiri, struktur dan pengetahuan bola sepak moden, dan lain-lain lagi.

“Kerjasama ini merupakan satu titik permulaan untuk masa depan pembangunan akar umbi bola sepak di Kedah dan kami harap lebih ramai akan mengambil peluang ini untuk bekerjasama, sekali gus mampu melahirkan lebih banyak bintang-bintang baharu di Kedah dan Malaysia,” jelas Muhammad Talhah bin Zainol yang merupakan Presiden HKFC.

Selain Malaysia yang diwakili oleh HKFC, beberapa negara lain di Asia turut bekerjasama bersama LaLiga untuk program pembangunan akar umbi ini seperti Singapura dan Jepun.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN