Lagu Dikir ‘Sumber Kekuatan’ Azri Ghani Di Bumi Mongolia

Azri Ghani Kelayakan Piala Asia B-23 Mongolia

Penjaga gol skuad B-22 negara, Azri Ghani setakat ini masih kental mempertahankan kubu terakhir Harimau Muda daripada dibolosi lawan dalam dua aksi kelayakan Piala Asia B-23 2022 berdepan Laos dan Mongolia.

Azri Ghani ada membuat kesilapan yang hampir membuatkan dirinya dilayangkan kad merah dalam aksi ketika menang ke atas Mongolia, namun mujur buat dirinya, beliau hanya dilayangkan kad kuning oleh pengadil.

Dalam aksi Kumpulan J, Malaysia masih belum dibolosi selepas menang 1-0 ke atas Laos dan Mongolia dan sedang menerajui kumpulan dengan enam mata, dua mata di depan pencabar dan musuh setempat, Thailand.

Ramai yang berkata, beliau bernasib baik tidak dilayangkan kad merah apabila menangkap bola di luar kotak penalti, jika tidak nasib skuad negara mungkin akan berubah kerana terpaksa beraksi kekurangan pemain.

Begitupun, jangan kita ketepikan aksi tangkasnya ketika menyelamatkan beberapa situasi dalam kedua-dua perlawanan yang mampu memberikan lawan gol. Pengalamannya beraksi di saingan Liga Super membantunya.

Dalam saingan Liga Super, beliau tampil sebanyak tujuh kali bersama Perak FC menggantikan penjaga gol utama, Hafizul Hakim dalam pusingan kedua liga. Walaupun Perak dihumban ke Liga Premier musim depan, pengalamannya berdepan penyerang-penyerang terbaik liga membantunya mematangkan permainannya.

Sebelum berhijrah untuk bersama The Bos Gaurus, beliau tampil baik dalam tiga aksinya bersama Kedah Darul Aman FC. Walaupun penyokong skuad Jelapang Padi mahukannya kekal, beliau memilih untuk berhijrah.

Bermula karier profesionalnya bersama FELDA United, Azri Ghani sebelum itu pernah ‘ditendang’ keluar dari Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) kerana pendek, namun semangat tidak putus asa mendorongnya untuk mencuba nasib dalam pemilihan pemain FELDA United selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam satu perkongsian di Facebook, dikongsikan satu ‘scene’ di bilik persalinan skuad B-22 di Mongolia di mana Azri Ghani dilihat sedang asyik berdikir dengan lagu Oh Sahiba, yang mana lagu asal daripada filem Bollywood, Dil Hai Tumhaara. Ia mungkin antara ‘azimatnya’ sebagai anak Kelantan ketika di perantauan.

Bagi yang tidak dapat lihat video ini di artikel, anda boleh berkunjung ke laman Facebooknya, Azri Ghani.

Leave a Reply

Bacaan Yang Disyorkan Untuk Anda