Lagenda Maradona (Bahagian 3): Mengubah Bandar Mafia Napoli Menjadi Kuasa Bola Sepak

Diego Maradona ataupun lagenda Maradona diibaratkan dewa bola sepak di Napoli. Lagenda Argentina mencipta nama di Itali dan merupakan ikon bola sepak dunia.

Napoli Sebelum Maradona

Napoli menginginkan Diego Maradona sejak karier beliau bermula di peringkat remaja di Argentina.

Kekangan kewangan dan pengaruh yang tidak besar menyebabkan Napoli gagal bersaing dengan Barcelona.

Napoli adalah bandar ketiga terbesar di Itali. Tidak pernah memenangi kejuaraan Serie A sejak penubuhannya pada 1926.

Napoli muncul naib juara Serie A pada 1968 dan 1975. Walaupun telah melabur besar untuk musim berikutnya, Napoli masih tidak mampu untuk bersaing dengan pasukan seperti Inter Milan, A.C Milan dan Juventus.

Sejak 1981, Napoli menduduki tempat ke-3, ke-4, ke-10 dan ke-12, sejurus sebelum kedatangan Diego Maradona.

Serie A pada era itu hanya mempunyai 16 pasukan bertanding sepanjang musim. Tiga pasukan terbawah akan disingkirkan untuk beraksi di Serie B.

Dengan kata lain, Diego Maradona telah menyertai pasukan yang hanya dibezakan dengan satu mata dari zon penyingkiran.

Ingat! Napoli bukanlah kuasa besar bola sepak. Bandar ini lebih dikenali dengan kemiskinan, kedaifan, keganasan dan aktiviti Mafia.

Selamat Datang Ke Napoli

Pada 5 April 1984, Diego Maradona tiba dengan helikopter di San Paolo untuk diumumkan sebagai pemain Napoli yang baharu.

Media Itali mengumumkan ketibaan Diego Maradona ke Napoli.

Yuran perpindahan dilaporkan berjumlah £6.9 juta adalah rekod dunia. Diego Maradona berumur 23 tahun pada masa itu.

Sekurang-kurangnya 70,000 daripada penduduk seluruh Naples, hadir untuk menyaksikan Diego Maradona diperkenalkan kepada umum sebagai pemain Società Sportiva Calcio Napoli S.p.A. yang sah.

Ketika perpindahan Diego Maradona masih di peringkat rundingan, terdapat segelintir penyokong Napoli yang mogok lapar.

Ini adalah untuk memaksa pengurusan Napoli untuk mempercepatkan rundingan. Setelah perpindahan itu direalisasikan, sebuah akhbar di Napoli, Itali menulis:

“Walaupun ketiadaan Datuk Bandar, kediaman, sekolah, pengangkutan awam yang baik, pengangguran dan sanitasi- semua itu tidak penting kerana kami ada Diego Maradona.”

Diego Maradona diperkenalkan di San Paolo.

Kehadiran Diego Maradona di Napoli dicerminkan oleh peminatnya sebagai “Messiah” (Juruselamat).

Hanya denga sepatah dua kata pada hari pengenalan, cukup untuk membuatkan seluruh penduduk bandar Napoli untuk merasa optimis.

“Selamat petang Neopolitans. Saya sangat gembira untuk bersama kalian di sini”, ujar Diego Maradona dalam Bahasa Itali disambut sorakan 70,000 penonton yang hadir di Stadio San Paolo.

Maka bermulalah kisah hebat lagenda bernama Diego Maradona!

Karier Awal Di Napoli

Karier awal Diego Maradona di Napoli kelihatan tidak menjadi. Pasukan bimbingan Rino Marchesi hanya mengumpul 9 mata menjelang Krismas musim 1984/85.

Lawan mereka pada masa itu juga bukan calang-calang pasukan. Juventus mempunyai pemain seperti Michel Platini dan Giovanni Trapattoni.

Paolo Maldini ditugaskan mengekang Diego Maradona dalam aksi Serie A menentang Napoli.

Milan di bawa revolusi Silvio Berlusconi telah melantik Arrigo Sacchi yang kemudiannya membawa masuk Marco Van Bansten, Ruud Gullit dan Frank Rijkaard.

Inter Milan juga memiliki pemain seperti Giuseppe Bergomi, Alessandro Altobelli, Karl-Heinz Rummenigge dan Lothar Matthäus.

Lapan daripada sembilan anugerah Ballon d’ Or dimenangi oleh pemain yang beraksi bersama-sama pasukan di Serie A, cukup untuk meletakkan Napoli bukan pilihan.

Paolo Rossi (1982), Platini (1983-85), Ruud Gullit (1987), Marco van Basten (1988-89), Matthäus (1990). Apakah “Sang Messiah” Diego Maradona ada peluang di Napoli?

Lothar Matthaus bertembung dengan Diego Maradona dalam perlawanan Serie A.

Setelah cuti pertengahan musim, Diego Maradona bertekad untuk mengubah nasib Napoli. Kemenangan 4-3 ke atas Udinese pada Januari adalah titik tolak permulaan kebangkitan Maradona dan Napoli.

Napoli hanya tewas sekali sehingga tamat musim, menamatkan musim di tangga ke-8. Diego Maradona turut menjaringkan 14 gol hanya di belakang Altobelli (17 gol) dan Platini (18 gol) pada musim tersebut.

Maradona Jenamakan Napoli

Pada musim panas 1985, Maradona dilaporkan bertemu dengan Presiden Napoli, Corrado Ferlaino. Maradona menuntut supaya Napoli membawa masuk beberapa pemain untuk musim Serie A 1985/86.

Diego Maradona mendapat apa yang dihajatinya. Ferlaino membawa masuk Claudio Garella, Alessandro Renica dan Ciro Ferrara juga muncul dari akademi Napoli.

Pembelian terhebat selepas Maradona semestinya adalah Bruno Giordano. Pemain ini menarik minat Maradona ketika Napoli bertemu dengan Lazio dalam saingan Serie A.

Diego Maradona ketika baru menyertai Napoli.

Walaupun pada awalnya Napoli seakan membatalkan niat untuk mendapatkan penyerang itu, namun pengurusan akur dengan desakan Diego Maradona.

“Saya telah memulakan era yang baru di Napoli. Saya menjenamakan Napoli dengan hormat, ” tulis Maradona dalam autobiografi beliau.

“Sebelum ketibaan saya, Paolo Rossi enggan ke sini kerana Napoli bukan bandar yang sesuai untuk beliau. Ini adalah bandar yang dikawal oleh Mafia. Jujurnya, sebelum ketibaan saya, tidak ada pemain yang mahu ke Napoli”.

Maradona Dan Napoli Gegarkan Serie A

Napoli turut melantik pengendali baharu pada musim itu, Ottavio Bianchi dari Brescia.

Walaupun sering tidak sependapat dengan Diego Maradona, Napoli menunjukkan peningkatan dengan mengakhiri cabaran Serie A musim 1985/86 di kedudukan ke-3.

31 gol daripada 60 penampilan dalam 2 musim pertama bersama Napoli, Ottavio Bianchi menemukan kaedah baru supaya Diego Maradona lebih mudah mengekspresikan dirinya di bahagian serangan Napoli.

Tamat Piala Dunia 1986, kita semua tahu impak yang dibawa oleh Diego Maradona bersama Argentina. Ottavio Bianchi membawa masuk Fernando De Napoli, Francesco Romano, Andrea Carnevale dan Tebaldo Bigliardi.

Kali ini, Diego Maradona dan Napoli serius untuk menamatkan kemarau Serie A buat pasukan selatan Itali ini.

17 gol daripada 41 penampilan bersama Napoli, menobatkan gelaran pertama Serie A buat pasukan dari Selatan Itali itu.

Gelaran “Scudetto” bukanlah kepingan terakhir Napoli dalam kejayaan tahun 1987. Selain daripada kejuaraan Serie A, Napoli turut memenangi Coppa Italia. Napoli menewaskan Atalanta dengan cukup bergaya apabila menang 4-0.

Juara Serie A Itali musim 1989/1990

“Aset utama Napoli adalah kemampuan kelab mengumpulkan pemain-pemain hebat bermain di bawah satu bumbung”, ujar Maradona selepas meraih kejuaraan berganda musim tersebut.

Hakikat sebenar, kita semua tahu siapakah yang menjadi titik fokal Napoli pada era itu.

Diego Maradona turut membawa Napoli muncul juara Serie A sekali lagi pada musim 1989/1990 setelah sekadar berpuas hati muncul naib juara pada musim sebelumnya.

Napoli Di Eropah

Setelah muncul juara Serie A, pada 1986/87, Napoli hanya menamatkan musim berikutnya sebagai naib juara untuk melayakkan diri ke Eropah.

Maradona cuba melepaskan percubaan melepasi pertahanan Stuttgart di final Piala UEFA.

Napoli mara ke final dipertemukan dengan wakil German, Vfb Stuttgart. Perlawanan akhir yang diadakan secara timbal balik itu dimenangi oleh Napoli dengan agregat 5-4.

Napoli turut menumpaskan Bayern Munich di separuh akhir, dan Juventus di pusingan kedua sebelum muncul sebagai juara Piala UEFA pada musim tersebut.

Kontroversi

Diego Maradona tidak dapat melarikan diri daripada kontroversi ketika beraksi bersama Napoli.

Maradona pernah menolak lamaran A.C Milan kerana kesetiaan dan hubungan istimewa beliau bersama fanatik di Napoli.

Isu pengambilan kokain pernah memalit karier Maradona. Anehnya sepanjang berada di Napoli, ujian air kencing Maradona sentiasa negatif.

Isu perkahwinan Maradona yang runtuh turut dipalit kontroversi dengan wanita lain.

Maradona adalah jenis pemain yang akan menjaringkan sekurang-kurangnya 15 gol- muncul sebagai penjaring terbanyak Serie A dan bersama Giordano dan Careca mewujudkan trio berbisa di Napoli.

Maradona adalah sangat penting dalam perancangan jurulatih Bianchi. Sehinggalah ke satu tahap, pengurus Napoli itu membiarkan Maradona melakukan apa sahaja yang diingininya.

Di minggu biasa, Maradona hanya menjalani 3 sesi penuh latihan. Pada hari Jumaat, Maradona akan berlatih sepakan percuma sebelum sesi urut.

Tidak ada siapa yang berani membantah. Diego Maradona diibaratkan dewa di Napoli.

Diego Maradona kelihatan bersama Ketua Mafia Cammora, Carmine Giulia

Pembabitan beliau dengan kumpulan Mafia, Camorra juga sering menghangatkan tajuk berita, walaupun beliau menafikan pembabitan beliau secara langsung.

Khabar angin mengatakan perpindahan beliau dengan rekod dunia bernilai £6.9 juta turut dibiayai oleh kumpulan itu.

Adalah mustahil untuk Napoli mampu untuk membayar jumlah tersebut pada era itu. Sebagai pulangan, kumpulan Camorra didakwa mendominasi pasaran gelap penjualan tiket perlawanan membabitkan pasukan Napoli.

Di penghujung karier Maradona di Napoli, beliau pernah didenda oleh pengurusan kelab kerana tidak muncul untuk latihan. Beliau akhirnya digantung selama 15 bulan akibat pengambilan dadah jenis kokain.

Diego Maradona akhirnya meninggalkan Napoli untuk ke Sevilla, Sepanyol pada tahun 1992.

Rumusan

Banyak perkara yang mampu menjatuhkan seorang pemain bola sepak ketika berada di puncak. Sepertimana Diego Maradona, isu dadah, alkohol, mafia, gaya hidup mewah dan wanita sering mengikuti karier beliau.

Bagi penulis, kami ingin mengenang kehebatan beliau sebagai seorang pemai bola sepak yang hebat.

Napoli adalah pentas terbaik untuk Diego Maradona untuk membuktikan wibawa beliau. Ini diikuti oleh pencapaian beliau di Piala Dunia 1986.

Pada tahun 2000, Napoli mengambil inisiatif untuk membersarakan jersi No.10 yang sinonim dengan Diego Maradona.

81 gol daripada 188 penampilan, Diego Maradona tetap individu istimewa di Napoli dan dunia bola sepak amnya.

Tidak hairan jika ada yang menggelar Maradona adalah pencipta kepada Napoli yang ada pada hari ini.

Beliau mampu mebawa 10 pemain lain di bahu beliau untuk menaiki podium kejuaraan. Tak kira di Napoli atau di Argentina.

Baca juga: Lagenda Bernama Maradona, Sang Penakluk Dunia Berbadan Kecil! – Bahagian 1.

Lagenda Maradona Bahagian 2: Fenomena, Piala Dunia, Kejatuhan Dan Legasi

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN