Lagenda Maradona Bahagian 2: Fenomena, Piala Dunia, Kejatuhan Dan Legasi

Lagenda Maradona bukanlah satu kisah yang asing di bibir peminat bola sepak. Di dalam menyediakan artikel ini, penulis melakukan sedikit penyelidikan.

Ketika meniti kronologi kerjaya Diego Maradona, penulis berpendapat bahawa beliau adalah individu berbakat yang sungguh luar biasa.

Kredit: Pemilik Sumber. Diego Maradona bersama lagenda bola sepak negara, Mokhtar Dahari.

Sedang sembang kedai kopi dengan rakan penulis, terpacul satu soalan:

“Siapakah yang terhebat di antara Diego Maradona dan Lionel Messi?”

Sukar untuk menjawab soalan ini. Tetapi rakan penulis berpendapat,  Maradona membuktikan dirinya boleh bermain di peringkat dan dengan pasukan mana sekalipun di dunia.

Maradona boleh membawa 10 pemain lain di bahu beliau. Sesuatu yang tidak dimiliki ramai pemain.

Untuk bahagian dua dalam siri kisah Diego Maradona ini, kami di Semuanya BOLA berkongsi kisah karier menakjubkan Maradona di peringkat antarabangsa.

Kami juga membingkis kehidupan beliau menghampiri persaraan sehinggalah kepada Diego Maradona yang kita kenal pada hari ini.

Asociación del Fútbol Argentino (A.F.A)

Ingatkah anda akan jaringan dengan jolokan “Hand of God” yang dihasilkan oleh Diego Maradona ketika bertemu England di peringkat suku kahir Piala Dunia 1986?

Jaringan pada minit ke-51 itu adalah jaringan pertama Maradona dalam perlawanan tersebut.

Bersaksikan 115,000 penonton di Stadium Aztech, gol kedua Maradona juga adalah jaringan yang tidak boleh dibayangkan dengan akal manusia pada masa itu.

Maradona menggelecek 5 pemain England. Beardsley, Reid, Butcher, Fenwick, Butcher sekali lagi, dan kemudiannya penjaga gol Peter Shilton. Jaringan tersebut didaftarkan sebagai “Goal of the Century” oleh FIFA.

Ketika ditanya wartawan berkenaan gol “Hand of God” menentang England, Maradona menjelaskan:

“Jika saya boleh meminta maaf dan kembali ke masa lalu, saya akan lakukan demikian. Tetapi jaringan itu adalah tetap satu gol. Argentina dinobatkan sebagai juara dunia dan saya adalah pemain terbaik dunia.”

Debut pertama Maradona bersama Argentina ialah pada 27 February 1977 menentang Hungary.

Bagaimanapun Maradona tidak dibawa bersama skuad Argentina ke Piala Dunia 1978 kerana faktor usianya yang masih muda.

Piala Dunia 1982

Kemunculan sulung beliau bersama skuad kebangsaan berakhir dengan kekalahan mengecewakan 1-0 kepada Belgium di Nou Camp, Barcelona.

Piala Dunia 1982 lebih dikenang dengan perbalahan dalaman di antara pemain muda dan senior di dalam pasukan.

Argentina pada masa itu turut dibarisi bintang seperti Mario Kempes, Daniel Passarella dan Alberto Tarantini.

Argentina menang baki dua perlawanan peringkat kumpulan untuk melayakkan diri ke pusingan seterusnya. Pada pusingan kedua, Argentina disingkirkan musuh tradisi, Brazil dan Itali.

Maradona beraksi dalam kesemua 5 perlawanan dan menjaringkan 2 gol sepanjang kejohanan edisi 1982 tersebut.

Piala Dunia 1986

Edisi Piala Dunia 1986, adalah di mana Diego Maradona mengisytiharkan dirinya sebagai pemain bola sepak terhebat di dunia.

Ini adalah Piala Dunia Maradona!

Siapa akan lupa perlawanan klasik menentang England di suku akhir yang penulis letakkan sebagai mukadimah penulisan ini.

Selain daripada membantu Argentina muncul juara, Diego Maradona turut mencatat kemenangan peribadi dalam edisi Piala Dunia 1986.

Beliau  dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan, yang sekaligus memartabatkan beliau sebagai pemain terbaik dalam sukan bola sepak pada era itu.

Diego Maradona turut disenaraikan di dalam pasukan pilhan FIFA bersama nama-nama besar dalam bola sepak seperti Jean Tigana dan Michel Platini dari Perancis, Gary Lineker dari England dan Julio Cesar daripadan Brazil.

Maradona melepasi kawalan 5 pemain England. Argentina 2-1 England.

Maradona bermain setiap minit dalam perlawanan membabitkan Argentina- menjaringkan 5 gol dan menghasilkan 5 bantuan gol sepanjang kejohanan.

Piala Dunia 1990

Sekali lagi kelibat hebat Diego Maradona ditagih untuk mengetuai cabaran Argentina dalam Piala Dunia yang dianjurkan di Italy pada tahun 1990.

Bagaimanapun, kemunculan Diego Maradona dalam edisi kali ini kerap dibayangi oleh kecederaan pergelangan kaki sehingga merencatkan pergerakkan beliau sepanjang kejohanan.

Argentina hampir tersingkir di pusingan awal apabila dikejutkan oleh Cameroon 1-0 dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan.

Di pusingan kedua, Argentina bergelut menewaskan seteru tetangga Amerika Latin, Brazil dengan 1-0 hasil jaringan Claudio Caniggia.

Aksi Maradona dalam Final Piala Dunia 1990.

Argentina bernasib baik apabila menang dengan sepakan penalti di peringkat suku akhir dan separuh akhir masing-masing menyingkirkan Yugoslavia dan Italy.

Final menemukan mereka dengan satu lagi gergasi Eropah, Jerman Barat. Perlawanan terus terikat 0-0 sehingga minit ke-85 dan Jerman dianugerahkan sepakan penalti kontroversi apabila Rudi Voller dikasari di dalam kotak penalti.

Andreas Brehme tenang menyempurnakan penalti tersebut dan Jerman muncul juara Piala Dunia 1990.

Piala Dunia 1994

Piala Dunia 1994 yang diadakan buat pertama kali oleh FIFA di negara Uncle SAM, adalah petanda berakhirnya karier luar biasa Diego Maradona.

Sepanjang kejohanan tersebut, Diego Maradona hanya beraksi di dalam 2 perlawanan, menentang Greece dan Nigeria.

Beliau menjaringkan satu gol dalam kemenangan 4-0 menentang Greece dan turut menjadi kapten dalam kemenangan 2-1 menentang Nigeria.

Kemunculan Maradona dalam Piala Dunia edisi 1994 dicemari dengan insiden kegagalan ujian doping. Maradona didakwa mengambil dadah jenis ephidrine, sejenis bahan larangan untuk atlet.

Diego Maradona ketika Piala Dunia 1994

FIFA dan Argentina terpaksa mengambil langkah menyingkirkan Diego Maradona daripada kejohanan tersebut.

Bagaimanapun, Maradona meletakkan kesalahan pengambilan bahan larangan tersebut kepada jurulatih peribadi beliau, yang memberi minuman “Rip Fuel” untuk tujuan penurunan berat badan.

Tanpa Maradona, Argentina mara ke pusingan ke-2, namun disingkirkan oleh Romania yang dibintangi oleh George Hagi dan Ilie Dumitrescu pada masa itu.

Piala Dunia 1994 juga dikenang dengan tragedi pembunuhan pemain pertahanan Colombia, Andres Escobar yang ditembak mati selepas tersingkir di pusingan awal.

Perlantikan Sebagai Ketua Jurulatih Argentina

Tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai Diego Maradona selepas Piala Dunia 1994 selain daripada deretan kontroversi dan masalah kesihatan yang menghiasi kisah peribadi beliau.

Beliau mengumumkan persaraan sebagai pemain bola sepak pada 29 Oktober 1997, sehari sebelum hari jadinya yang ke-37.

Maradona memberi arahan kepada Lionel Messi ketika menjadi jurulatih Argentina.

Pada Oktober 2008, Presiden Bola Sepak Argentina, Julio Grondona membuat kejutan dengan mengumumkan perlantikan Diego Maradona sebagai ketua jurulatih dan pengurus bola sepak skuad kebangsaan Argentina.

Pengumuman ini mendapat sambutan yang bercampur baur antara suka dan kekeliruan di seluruh dunia. Ini kerana Maradona tiada pengalaman mengurus mana-mana pasukan.

Suka kerana di sebalik pelbagai kontroversi, Diego Maradona tetap idola yang pernah menyanjung nama Argentina satu masa dahulu.

Kepopularitian beliau nyata memadamkan kekeliruan pemerhati bola sepak dunia pada masa itu.

Pengurus Argentina

Di bawah kendalian Diego Maradona, Argentina menang kesemua tiga perlawanan peringkat antarabangsa.

Karier beliau sebagai ketua jurulatih Argentina turut terpahat kisah duka apabila dibelasah Bolivia 6-1 (kekalahan terburuk Argentina) menyamai rekod kekalahan yang pernah terpahat sebelum ini.

Maradona mengemudi cabaran Argentina di dalam Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Skuad yang dibarisi ramai pemain bintang seperti Lionel Messi, Sergio Aguero dan Carloz Teves tewas di suku akhir, dibelasah Jerman 4-0.

Kontrak beliau bersama Argentina tidak lagi disambung selepas itu.

Lagenda Merentas Zaman

Sepertimana Cristiano Ronaldo, Lionel Messi dan Pele, nama Diego Maradona tidak akan lekang daripada mana-mana peminat sukan bola sepak.

Diego Maradona telah mencipta kisahnya tersendiri, membawa satu fenomena yang luar biasa di dalam dan luar padang.

Semoga siri artikel ini mampu membawa kita mengenang kembali satu nama yang pernah menggegarkan bola sepak dunia iaitu Diego Maradona.

Nantikan kisah Diego Maradona membawa Napoli mengegar Italy pada minggu hadapan!

Baca juga: Lagenda Bernama Maradona, Sang Penakluk Dunia Berbadan Kecil! – Bahagian 1.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN