La Liga Sepanyol Tanpa Kelibat Kelab Catalonia Jika Mereka Merdeka?

Sudah pasti ramai mengetahui tentang kisah referendum Catalonia untuk berpisah dengan Sepanyol. Laporan terkini menyebut, daripada 5.3 juta pemilih, hanya 42% mengundi dalam referendum itu. Kira-kira 2.23 juta pengundi sahaja.

90% pengundi memilih agar Catalonia merdeka. Namun, kerajaan Sepanyol bertegas tidak mengiktiraf keputusan referendum. Malah, Perdana Menteri Sepanyol, Mariano Rajoy akan melaksanakan Artikel 155 Perlembagaan Sepanyol.

Artikel 155 itu membenarkan kerajaan Sepanyol boleh mengambil alih wilayah autonomi dan ditadbir daripada kerajaan Pusat.

Ya, ia boleh dianggap mirip seperti tindakan Kerajaan Persekutuan negara kita meMAGERANkan Kelantan pada 1970-an lalu. Artikel 155 itu masih belum pernah digunakan oleh pentadbiran Sepanyol sebelum ini.

Kesan kepada bola sepak

Pasti ramai peminat sukan bola sepak bertanya, apa masalahnya Barcelona bermain di Liga Sepanyol jika Catalan keluar daripada Sepanyol? Sedangkan Swansea boleh sahaja bermain di England walaupun bukan sama negara.

Celtic sendiri boleh memohon untuk bermain di Liga England jika mereka mahu.

Baiklah, kami akan terangkan kepada anda, kenapa Barcelona dalam situasi lebih rumit jika Catalonia menjadi negara sendiri.

Media sukan terkemuka Sepanyol, telah menemuramah Javier Tebas, pengerusi La Liga. Javier Tebas memberitahu ia amat sukar dan terpaksa memahami perundangan Sepanyol.

Beliau sendiri tidak mahu kelab-kelab Catalonia dinafikan hak beraksi dalam La Liga walaupun wilayah itu merdeka daripada Sepanyol.

Sekiranya Persekutuan Bola Sepak Catalonia (FCF) mengambil keputusan membentuk liga khas, pelbagai perkara akan dihadapi.

Contohnya penyertaan FCF sebagai ahli UEFA. Jika diimbas kembali, Sepanyol pernah menghalang Gibraltar menjadi ahli UEFA.

Tidak hairan ia akan berulang sekali lagi selepas ini. Lebih-lebih Catalonia! UEFA terpaksa bertindak lebih proaktif dalam menangani isu ini.

Dalam masa sama, UEFA mesti duduk semeja bersama Kesatuan Eropah (EU). Malah, Presiden Kesatuan Eropah telah memberitahu, walaupun Catalonia merdeka, EU tidak akan menerima permohonan Catalonia menjadi ahli.

Nota penulis: Sewaktu artikel ini ditulis, berita terkini melaporkan European Commision meminta Sepanyol dan Catalonia berdialog bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Laporan lain menyebut bahawa FIFA enggan memberikan sebarang komentar mengenai situasi yang sedang berlaku.

FIFA antara salah satu pertubuhan antarabangsa yang berpengaruh, sekurangnya mereka tidak mahu membuat sebarang kenyataan yang tidak membantu.

Latar belakang Sepanyol

Sepanyol bukanlah sebuah negara persekutuan seperti dianggap ramai pihak. Tetapi di bawah pentadbiran Sepanyol, terdapat wilayah-wilayah autonomi.

Wilayah autonomi ini dibenarkan mewujudkan kerajaan sendiri tetapi masih ada bidang kuasa diagihkan bawah kerajaan wilayah autonomi dengan kerajaan Sepanyol.

Kebanyakan wilayah autonomi ini berdasarkan wilayah-wilayah asal sebelum pembentukan Sepanyol moden.

Sebagai penutup, keamanan dan kestabilan sesebuah rantau lebih diutamakan daripada keseronokan sukan. Semoga negara-negara Barat cekal menghadapi kebangkitan gerakan nasionalis dan haluan kanan.

Diharapkan juga ia menjadi iktibar kepada penduduk negara kita, kerukunan hidup bersama perlu dikekalkan sampai bila-bila.

Tiada lagi el Clasico di liga domestik?

Adakah selepas ini tiada lagi el clasico di liga domestik dan ianya akan berlaku di peringkat antarabangsa?

Bagi pemain-pemain Barcelona yang berdarah Catalan, mereka kini lebih kepada isu kemerdekaan dan bola sepak di tempat kedua.

Namun, jika benar hal ini, berlaku dan Catalan mewujudkan liga mereka sendiri, adakah realistik untuk Barcelona menyimpan ramai bintang bergaji jutaan Euro semusim selepas ini?

Apa pandangan anda pembaca semuanyaBOLA? Kongsikan dengan kami.
Sumber:

  1. Guardian (2017): After Catalan Referendum: What Happens Next; https://www.theguardian.com/world/2017/oct/02/after-the-catalan-referendum-what-happens-next
  2. Marca (2017): Tensions over Catalan independence spill onto football pitch; http://www.marca.com/en/football/barcelona/2017/09/29/59ce8888ca47410f2a8b465c.html

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN