Real Madrid meneruskan rentak cemerlang dalam kempen La Liga 2019/20 selepas berjaya menundukkan Real Mallorca 2-0 pada aksi yang berlangsung di Alfredo Di Stefano Stadium, sebentar tadi.
Kejayaan itu merupakan kemenangan keempat berturut-turut buat Los Blancos selepas saingan liga kembali bersambung bermula 12 Jun lalu.
Penjaring terbanyak Real Madrid, Karim Benzema hampir meletakkan pasukannya di hadapan pada minit ketujuh tetapi rembatan dari jarak dekat diledakkannya selepas menerima hantaran cantik dari Ferland Mendy berjaya dihalang penjaga gol lawan, Manolo Reina.
Reina terus bertindak cemerlang menghalang gawangnya dari dibolosi apabila rembatan jarak jauh Gareth Bale juga pada minit ketujuh ditepis keluar oleh beliau.
Mallorca yang sesekali mencipta gerakan ke kubu tuan rumah turut memiliki peluang terbaik, bagaimanapun Thibaut Courtois lebih bersedia menafikan percubaan cantik dijelmakan oleh Idrissu Baba pada minit ke-10.
? FP: @realmadrid 2-0 @RCD_Mallorca
⚽ @viniciusjr 19′, @SergioRamos 56′ #Emirates | #RMLiga pic.twitter.com/sS4NP3RzcG— Real Madrid C.F.⚽ (@realmadrid) June 24, 2020
Jaringan yang dinantikan kelab gergasi Sepanyol itu hadir di minit ke-19 setelah Vinicius Junior melakukan kuisan bijak lalu berjaya memperdayakan Manolo Reina untuk membuka tirai jaringan.
Berselang lima minit kemudian, pemain kelahiran Brazil itu sekali lagi menggunakan helah yang sama dalam usahanya menambah jaringan kedua tetapi tolakan lambung yang sudah berjaya menewaskan Reina itu sekadar singgah di palang gol.
Memasuki babak kedua, Real Madrid terus menggandakan asakan dan mendapat peluang pada minit ke-52 menerusi Benzema tetapi rembatan beliau dinafikan sekali lagi oleh Reina.
Sergio Ramos yang baharu sahaja bergelar pemain pertahanan yang menjaringkan gol terbanyak dalam saingan La Liga turut mencetak namanya selaku penjaring pada perlawanan ini.
Lebih menarik, jaringan tersebut terhasil bukanlah menerusi sepakan penalti tetapi kali ini percubaan menariknya hasil sepakan percuma terus menerjah gawang Mallorca yang hanya mampu dipandang Reina.
Tiga mata penuh yang diraih itu juga menyaksikan Real Madrid kembali berada di puncak La Liga meskipun terikat 68 mata bersama musuh tradisi, Barcelona berikutan kelebihan rekod pertemuan yang dimiliki skuad bimbingan Zinedine Zidane tersebut.