Sejak mula bangkit sebagai salah satu kuasa dalam bola sepak Inggeris era moden, Manchester City sering kali dikritik kerana kekurangan sokongan padu dari para penyokong mereka.
Walaupun pada mulanya ianya hanya menjadi bahan usikan di media sosial, namun kini ianya menjadi persoalan serius dalam kalangan wartawan kepada pasukan tersebut.
Ketika ditanya oleh pihak media, pemain Manchester City iaitu Kyle Walker menafikan kekurangan penyokong mereka dalam memberikan sokongan.
Malah menurutnya, ianya adalah tanggungjawab para pemain itu sendiri untuk memberikan dorongan kepada penyokong untuk menghasilkan atmosfera yang lebih hebat di Etihad Stadium.
“Tidak, tidak sama sekali. Ianya terpulang kepada penyokong Manchester City untuk mempunyai pendapat mengenai malam bola sepak Eropah dan itulah pilihan mereka.”
“Tanggungjawab terletak kepada kami para pemain untuk menaikkan tahap atmosfera perlawanan di stadium.”
Menurut Walker, tugas pemain di atas padang cukup besar kerana mereka bukan saja mahu mendapatkan kemenangan tetapi ingin mencipta sejarah bersama pasukan.
“Kami mempunyai tugas yang cukup besar untuk mendapatkan kemenangan dan kami perlu mencipta sejarah untuk pasukan ini.”
Dalam masa yang sama, Walker mengakui yang pasukannya sedikit goyah apabila bertandang ke stadium lawan yang mempunyai sokongan yang padu daripada penyokong.
“Saya terlalu fokuskan permainan saya hinggakan ada masa yang tidak kisah akan tahap sokongan penyokong saya sendiri.”
“Tetapi sebagai pemain, jelas sekali kami mahukan sokongan padu diberikan kerana apabila kami ke gelanggang lawan dan penyokong mereka benar-benar bersama pasukan maka kami biarkan permainan kami mendiamkan sokongan itu.”