AX FC akhirnya berjaya mengutip kemenangan pertama mereka dalam kempen Klang Valley League (KVL) M4 selepas menjaringkan 2 gol dalam masa 10 minit terakhir untuk menewaskan Shah Alam Celtic (SA Celtic) 2-0 di Stadium Mini Shah Alam.
AX berpeluang menjaringkan gol awal dari minit pertama lagi jika tidak kerana salah faham antara 2 penyerang mereka.
Hantaran lintang rendah dari sayap kanan disambar serentak oleh MK Anbalagan dan P. Mugeneswaran, menyebabkan kedua-duanya terlepas peluang untuk menyempurnakannya. Bola kemudiannya singgah ke kaki rakan sepasukan mereka, G. Thipenraj, tetapi rembatannya terus ke dakapan penjaga gol SA Celtic, Shahruddin Lazim.
SA Celtic juga berpeluang mendapatkan gol pendahuluan pada minit ke-19. Sepakan percuma lencong Izwan Zainon di sebelah kanan menemui Shahrul Fazrin di kawasan far post. Tetapi malang buat Shahrul apabila kaki beliau gagal menyentuh bola tersebut, menyebabkan bola terkeluar dari padang.
Peluang jarang-jarang tercipta dalam perlawanan ini. Hantaran akhir AX beberapa kali mengecewakan mereka. Sementara itu, SA Celtic seringkali dikecewakan oleh ketangkasan pertahanan AX, Idwan Syah yang bijak merampas bola dengan bentesan bersih dan tekanan awal.
Sejurus selepas separuh masa kedua bermula, Razin Nasir perlu menyalahkan diri sendiri atas kegagalannya menjaringkan gol. Cemerlang menembusi kubu SA Celtic di sebelah kanan, beliau bagaimanapun mensia-siakan peluang dengan merembat terlalu tinggi.
Shaharuddin Lazim perlu dipuji kerana setidak-tidaknya berjaya melambatkan gol AX. Dua aksi refleksnya untuk menafikan percubaan P. Teebanraj dan V. Mageswaran. Tetapi beliau tidak mampu berbuat apa-apa apabila Mageswaran meledak rembatan roket dari luar kotak penalti yang wajar dijadikan gol terbaik mingguan.
AX kemudiannya menyudahkan kerja mereka dengan gol Teenbaraj yang merembat rendah untuk menewaskan Shahruddin pada masa kecederaan.