Shah Alam Antlers dipaksa berkongsi mata dengan Kompleks FC yang bermain dengan 10 pemain dalam perlawanan minggu ke-4 Klang Valley League (KVL) M4 yang berakhir seri 0-0 di Stadium Mini Shah Alam.
Separuh masa pertama menyaksikan tak banyak peluang gol berjaya dihasilkan oleh kedua-dua pasukan di sebalik dominasi penguasaan bola SA Antlers. Kompleks FC yang jelas turun dengan emntaliti defensif berjaya menghadkan peluang Antlers kepada hanya 3 peluang separa dari Salihan Jamil, Sherif Moustafa dan pemain gantian, Henry Albert.
Pendekatan defensif Kompleks ternyata ada bayarannya. Beberapa minit sebelum rehat separuh masa pertama, pertahanan Fauzy Said dibuang padang oleh pengadil selepas membentes Khairil Iskandar untuk kad kuning keduanya.
Kelebihan seorang pemain memberikan Antlers harapan. Tetapi dengan 9 pemain di belakang bola, sukar bagi Antlers untuk mencipta sesuatu yang berbahaya.
Pada minit ke-45, hantaran lintang kiri Henry Albert berjaya menemui Lukman Hakin dalam kotak penalti. Tetapi tandukannya tinggi melewati palang gol.
Kecemerlangan penjaga gol Kompleks, Mohd Faizwan juga perlu dipuji. Ketika beliau nampak gagal menangkap kemas Khairil Iskandar, beliau menebus kesilapannya dengan aksi menyelamat cemerlang untuk menafikan percubaan susulan daripada Syaqim Aggie.
Antlers sedaya upaya cuba menambah tekanan untuk mendapatkan gol yang dicari-cari. Tetapi Kompleks degil untuk mengikat lawan 0-0 dan berkongsi satu mata.