Perlima United dan Kompleks FC masing-masing berkongsi 1 mata selepas perlawanan liar itu berakhir dengan keputusan 1-1.
Dalam perlawanan yang menyaksikan insiden kad merah lebih banyak daripada gol, Perlima terlebih dahulu mendapat gol. Pada minit ke-3, Haidir Ali Othman memecut laju meninggalkan pertahanan terakhir Kompleks FC untuk memberikan Perlima United gol pembukaan.
Gol tersebut seakan menyedarkan Kompleks FC dari lamunan. Mereka mempunyai lebih banyak penguasaan bola, tetapi bergelut untuk benar-benar mencemaskan penjaga gol Perlima. 25 minit mencuba, barulah mereka mendapat percubaan tepat pertama – meskipun ia hadir kerana elemen nasib.
Memenangi sepakan percuma di sebelah kiri, Ahmad Zairul menghantar bola ke near post yang mencetuskan huru-hara dalam kotak penalti Perlima. Salah satu mangsanya adalah penjaga gol Perlima yang hanya mampu melihat bola Zairul masuk ke gawangnya.
Apabila kedudukan terikat 1-1, perlawanan menjadi hambar dengan peluang menjadi semakin jarang terjelma. Perlima selesa bertahan dengan 9 pemain di belakang bola, membuatkan penguasaan bola Kompleks menjadi sia-sia. Tetapi apabila Perlima cuba menyerang balas, pertahanan Kompleks jarang teruji.
Perlawanan hambar bertukar menjadi panas pada minit ke-56. Berang dengan kekasaran Hairul Khalid, Abdul Hafiz membalas dengan menumbuk dada pemain Perlima itu dari belakang. Insiden ini segera mencetuskan perbalahan antara kedua-dua pasukan yang mengakibatkan pengadil terpaksa memberi kad merah kepada Hafiz dan kad kuning kepada Hairul.
Beberapa minit sebelum masa kecederaan separuh masa kedua, 2 pemain lagi dibuang padang. Perbincangan pengadil dengan pembantunya menghasilkan kad merah kepada pemain Perlima, Arwani Achmad Zubaedi dan pemain Kompleks, Idham Izhar.
Tamat perlawanan, Perlima United 1-1 Kompleks FC.