Quantcast

BERITA

KVL M4: Jan FC Terus Cemerlang, Kali Ini Tumbangkan Subang United

Dua gol pada separuh masa kedua memastikan Jan FC dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menumbangkan Subang United 2-0 pada minggu kedua KVL M4 yang berlangsung di Stadium Mini Shah Alam.

Jan merupakan pasukan pertama yang menyerang apabila hampir-hampir menghukum kesilapan penjaga gol Subang United, Ismafirul Ismail yang cuba menanduk bola keluar dari kawasan bahaya. Bola bagaimanapun mendarat ke kaki K. Naraintharan yang menyungkit bola ke jaring yang terbuka.

Takdir Tuhan bagaimanapun menyebelahi Subang United. Angin kuat menghalang sungkitan Naraintharan daripada menuju ke gawang dengan lebih laju. Ini membolehkan pertahanan Subang mengeluarkan bola tepat pada masanya sebelum melintasi garisan gol.

Memasuki minit ke-30, Haiqal Johari berjaya melepasi kawalan pemain Subang, Haziq Nor Izham untuk menyambut hantaran jauh rakan sepasukannya. Tetapi penyudahnya terlalu lemah untuk menewaskan penjaga gol.

Kedua-dua pasukan mempamerkan corak permainan menyerang yang laju. Tetapi kelemahan hantaran terakhir mereka menyaksikan peluang menjadi premium. Satu-satunya peluang realistik Subang untuk menjaringkan gol adalah menerusi sepakan percuma Rahmat Hidayat yang hanya beberapa inci melewati palang.

4 minit selepas separuh masa kedua bermula, Jan hampir mendapat gol pertama. Sepakan percuma yang mereka ambil menemui kaki Haiqal di sebelah kanan yang kemudiannya membuat hantaran lintang kepada SR Thevaraj.

Bagaimanapun Ismafirul berjaya melakukan aksi penyelamat berganda untuk menafikan Thevaraj.

Di atas, serangan Subang United menjadi bertambah baik selepas separuh masa kedua. 5 minit selepas separuh masa kedua, Efendi Adnan melorongkan bola ke Naim Jasmin yang berlari di kanannya. Tetapi rembatan Naim meliar jauh dari sasaran.

Pada minit ke-52, Jan akhirnya mendapat gol selepas M. Ganeswaran berjaya memenangi bola daripada pertahanan lawan. Insiden itu menghasilkan situasi 2v1 yang membolehkan Ganeswaran melorongkan bola untuk penyudah mudah dan tenang oleh Haiqal.

Haiqal Johari meraikan gol jaringanya ketika menewaskan Subang United dalam aksi minggu ke-2 KVL M4 di Shah Alam.

Subang United cuba melawan menerusi 2 percubaan jarak jauh. Walaupun ia berjaya mencemaskan penjaga gol Jan FC, percubaan Syafiq Hasni dan Nik Ahmad Khatame gagal menemui sasaran.

Masuk ke 10 minit terakhir perlawanan, Jan FC memastikan kemenangan mereka apabila Haiqal pula menjadi penyumbang gol kepada Thevaraj.

Bagaimanapun seperti minggu pertama, Jan FC terpaksa menghabiskan perlawanan dengan 10 pemain selepas Sugunthan menerima 2 kad kuning. Nik Ahmad Khatame berpeluang menjaringkan gol saguhati Subang United pada masa tambahan. Tetapi penjaga gol, R. Yugnetaran mempamerkan tampanan kuat dengan satu tangan untuk memastikan clean sheet pasukannya.