Jan FC bangkit dari kekecewaan minggu lepas selepas menewaskan Shah Alam Celtic 2-1 dalam perlawanan minggu ke-4 Klang Valley League M4 di Stadium Mini Shah Alam.
Sepanjang separuh masa pertama, Jan menguasai perlawanan dan memaksa SA Celtic berkampung di kawasan kubu mereka sendiri. Bagaimanapun penjaga gol SA Celtic, Shahruddin Lazim jarang-jarang diuji.
Sekitar minit ke-20 barulah Jan memperolehi gol pendahuluan. Hantaran lintang Haiqal Johari dari sebelah kanan melepasi semua pertahanan SA Celtic sebelum menemui sentuhan penyudah pertahanan Jan, P. Surain di bahagian far post.
Jan kemudiannya boleh menambah gol kedua. Sri Sagis Kumar melorongkan bola cantik untuk menghantar Haiqal berdepan 1v1 dengan Shahruddin. Tetapi Haiqal hanya sekadar mampu merembat tepat ke arah penjaga gol SA Celtic itu.
2 minit selepas rehat separuh masa pertama, SA Celtic menyamakan kedudukan melalui serangan pertama mereka. Mohd Danish membuat hantaran lintang rendah ke Mohd Raziman yang tidak melakukan kesilapan untuk merembat masuk gol dari luar kotak penalti.
7 minit kemudian, SA Celtic sepatutnya boleh mendahului. Raziman berjaya melepasi perangkap ofsaid Jan di sebelah kiri – tetapi percubaannya melambung tinggi.
Peluang yang dibazirkan SA Celtic itu ternyata membawa padah. Sekitar minit ke-50, Jan memenangi penalti susulan bola yang terkena tangan pertahanan SA Celtic. M. Sugunthan tampil ke hadapan menyudahkan penalti dengan yakin untuk Jan kembali medahului 2-1.
Gol tersebut memberi kusyen kepada Jan untuk menyudahkan perlawanan dengan kememangan, sekaligus mengembalikan status mereka sebagai pendahulu liga.