Lesen D kejurulatihan FAM dahulunya dipanggil Lesen Awalan. Ia juga merupakan lesen pra sebelum anda boleh mengambil lesen C. Lesen ini merupakan langkah pertama untuk anda memulakan karier sebagai jurulatih.
Kenapa berubah dari lesen awalan ke lesen D?
Lesen awalan dijenamakan semula kepada Lesen D kerana pada kali ini, para peserta kursus perlu melalui beberapa siri ujian. Hanya peserta yang lulus sahaja yang dibenarkan menyertai kursus lesen C.
Sebelum ini, FAM mendapati terlalu ramai calon-calon jurulatih yang mengambil lesen C. Ini kerana kursus lesen awalan gagal menepati kriteria kualiti yang dikehendaki – menyebabkan ramai jurulatih tidak berkualiti terburu-buru mendapatkan lesen C dan kemudian gagal lulus.
Antara aspek yang ditekankan oleh pengajar kursus kejurulatihan adalah keupayaan anda – sebagai bakal jurulatih – untuk bermain bola sepak.
Keupayaan bermain bola sepak di sini bukanlah bermaksud anda harus bermain pandai bermain bola sepak seperti pemain profesional. Sebaliknya cukuplah anda mampu menguasai aspek-aspek asas bermain bola sepak seperti teknik mengawal, menendang dan menghantar bola.
Selain itu, anda juga perlu aktif secara fizikal dan cergas terlibat dalam aktiviti-aktiviti berkaitan bola sepak. Jika anda mempunyai berat badan berlebihan, ia bukanlah penghalang bagi anda untuk mengambil lesen kejurulatihan. Asalkan anda boleh bermain bola sepak.
Bagaimana untuk mendaftar?
Kursus kejurulatihan lesen D FAM ini dianjurkan oleh persatuan-persatuan bola sepak yang berdaftar dan diiktiraf oleh FAM. Antara yang paling popular adalah FA negeri masing-masing.
Dalam kes saya, saya mendaftar kursus kejurulatihan lesen D FAM selepas mendapat maklumat daripada iklan yang disebarkan oleh Persatuan Bola Sepak Melayu Malaysia.
Kepada pembaca belum mengambil lesen tetapi berminat, saya sarankan anda supaya jangan melengah-lengahkan masa dan bertangguh dalam urusan pendaftaran. Ini kerana slot kursus-kursus kejurulatihan seperti ini sangat terhad dan sangat cepat untuk penuh.
Ini kerana, slot kursus bukan saja diisi oleh orang awam. Malah turut disambar oleh pemain-pemain liga Malaysia yang melihat prospek menjadi jurulatih sebagai karier mereka selepas bersara sebagai pemain.
Berdasarkan pemerhatian saya, kebanyakan orang awam yang mendaftar kursus kejurulatihan lesen D ini mahu mendapatkan ilmu-ilmu asas untuk membantu pasukan bola sepak komuniti mereka.
Yuran pendaftaran kursus mungkin berbeza sekitar RM400-RM500.Dalam kes saya, yuran kursus saya adalah RM450. Ada kursus yang mengkehendaki anda untuk bermalam di pusat latihan. Ada kursus yang lebih fleksibel. Ia terpulang kepada penganjur.
Ketika pendaftaran, anda perlu menyediakan salinan kad pengenalan dan juga gambar berukuran pasport.
Lokasi kursus kejurulatihan lesen D yang saya hadiri bertempat di bangunan MARDI, Serdang (berdekatan dengan UPM). Pendaftaran bermula seawal 7 pagi. Pastikan anda sampai tepat pada masanya!
Apa yang perlu dibawa?
Buku nota dan pen adalah perkara yang paling penting.
Anda juga perlu menyediakan seluar yang bersesuaian dengan kursus. Jadi anda perlu membawa 2 pasang seluar sukan – satu untuk aktiviti kuliah di dalam dewan dan satu lagi untuk aktiviti di padang pada setiap hari kursus.
Untuk baju pula, anda tak perlu risau kerana pihak penganjur biasanya akan membekalkan baju rasmi kursus.
Pastikan anda juga memakai pakai stokin yang sesuai. Jika cuaca panas, jangan pakai stokin nipis. Ini kerana anda akan banyak aktiviti di dalam padang.
Hari pertama
Pengajar kursus kejurulatihan yang saya hadiri adalah Coach Hassan Sazali Waras dan Coach Aminuddin Hussin. Kedua-dua mereka masing-masing memiliki CV yang sangat mengagumkan dalam arena bola sepak tanah air – terutamanya dalam aspek pembangunan bakat muda.
Seorang lagi jurulatih yang membantu mereka berdua adalah Dr. Zulakhbar. Beliau bertugas sebagai jurulatih Persatuan Bolasepak Melayu Selangor (PBMS).
Hari pertama
Hari pertama kursus dimulakan dengan sesi praktikal di padang. Semua peserta termasuk saya, masing-masing masih dalam proses berkenalan. Perkara pertama yang kami belajar adalah aspek hantaran dan juga permainan sokongan (support play).
Kami diajar cara membuat hantaran rendah serta cara memberikan sokongan kepada pemain di dalam padang. Ia kedengaran mudah. Tetapi tetap mencabar di bawah sinar terik matahari.
Tamat sesi praktikal, kami dibawa masuk ke dewan kuliah untuk sesi teori.
Sesi dewan kuliah dimulakan dengan ucapan alu-aluan dan perasmian oleh YB Tuan Haji Mohd Firdaus Mohamed. Beliau merupakan Presiden PBMS yang juga merangkap Exco FAM. Banyak pengalaman beliau dalam bola sepak Malaysia.
Pada sesi teori di sebelah petang, kami diajar pula tentang kecederaan sukan.
Kami bertuah kerana diajar oleh pakar fisioterapi FAM, Cik Shohaili Mansor (gambar bawah). Sebagai fisio, beliau pernah bertugas untuk skuad Harimau Muda C yang berlatih di Slovakia.
Banyak ilmu tentang sains sukan yang dikongsikan oleh beliau. Tamat sesi kuliah, kami kembali semula ke padang.
Kali ini kami diajar pula tentang teknik penguasaan bola (ball mastery). Aspek ini adalah perkara penting untuk diajar kepada pemain-pemain di peringkat usia awal.
Selepas itu, kami diajar pula aspek menggelecek bola (dribbling). Saya masih ingat, setiap peserta kursus masing-masing menunjukkan skil body feint dan step over. Teguran lantang dan keras oleh Coach Hassan dan Coach Amin kekal segar dalam ingatan saya.
Hari kedua
Pada hari kedua, ada 2 sesi kelas. Pertama, kami diajar tentang peranan seorang jurulatih kepada pemain, pasukan dan organisasi. Ketika inilah Coach Amin banyak berkongsi tentang pengalaman beliau sepanjang menjadi jurulatih.
Satu lagi kelas adalah bertumpu kepada falsafah kejurulatihan dan falsafah permainan.
Untuk sesi praktikal sesi pagi, kami didedahkan pula dengan aktiviti kawalan bola – kawalan bola rendah dan bola tinggi. Sesi ini turut merangkumi kawalan bola ketika berada dalam tekanan lawan.
Dalam sesi praktikal pada waktu petang, kami didedahkan pula dengan teknik cubaan gol, tandukan dan voli.
Hari ketiga
Pada hari ketiga, kami perlu melakukan aktiviti ball feeling dan ball mastery.
Masuk ke sesi praktikal, kami diajar pula tentang aspek pertahanan di dalam padang. Antaranya, cara bertahan 1 lawan 1.
Masuk ke kelas, kami diajar pula cara untuk mengendalikan latihan. Banyak pertimbangan yang harus diteliti sebelum latihan boleh dilakukan. Ia merangkumi faktor dalaman dan luaran.
Pada sesi sebelah petang di dewan kuliah, kami diberikan penerangan ringkas oleh Dr. Zulakbar tentang nutrisi dalam bola sepak.
Tamat kelas petang, kami masuk ke padang semula untuk menghadapi sesi praktikal yang terakhir. bagi saya, sesi inilah yang paling mencabar. Ini kerana kami perlu menjadi penjaga gol.
Masuk di padang, kami didedahkan dengan cara-cara asas menangkap bola. Ia penting untuk diajar kepada pemain-pemain muda.
Hari keempat: hari perhitungan
Hari keempat adalah hari yang membuatkan semua menjadi serius dan agak tak keruan.
Pada hari keempat ini, sesi ujian ini akan diadakan untuk menentukan sama ada peserta akan lulus lesen D atau tidak. Jika lulus, kami mempunyai tiket ke lesen C.
Ketika inilah kami diuji sebagai jurulatih bola sepak. Kami diberi pemain yang kami tak kenal untuk dilatih – di bawah pemerhatian dan penilaian Coach Hassan dan Coach Aminuddin. Perasaan gemuruh dan gementar menguasai diri saya pada ketika ini. Tetapi saya beranikan diri juga.
Selepas itu, kami menghadapi ujian bertulis pula. Meskipun saya bekerja sebagai penulis, tak pernah lagi saya rasa kekok menulis hinggalah saat menduduki ujian tersebut.
Rumusan
Tamat segala sesi dan ujian, kami berkumpul untuk majlis penutup. Semua mengambil kesempatan untuk beramah mesra untuk kali terakhir.
Ketika artikel ini ditulis, kami masih belum tahu sama ada kami lulus ataupun tidak. Jika gagal, kami boleh mengulang sekali lagi kursus lesen D ini. Tetapi sudah tentulah dengan bayaran dan pelaburan masa sekali lagi.
Namun Coach Hassan dan Coach Aminuddin berulang-ulang kali menegaskan, kegagalan di peringkat ini bukan bermaksud kami gagal selama-lamanya!
Tidak! Ilmu yang dipelajari sepanjang sesi kursus ini sangat cukup untuk mempersiapkan diri anda untuk melatih pasukan di peringkat komuniti dan peringkat akar umbi.
Bagi saya, menyertai kursus kejurulatihan lesen D ini adalah satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Pengalaman berkongsi padang dengan jurulatih sehebat Hassan Sazali Waras dan Aminuddin Hussin merupakan kenangan manis saya sepanjang 4 hari menyertai kursus ini .
Tidak lupa perkenalan saya dengan beberapa pemain profesional seperti Solehin Kanasian, Yusaini Hafiz, Zaiza Zainal Abidin dan ramai lagi.
Jika ada tips yang boleh saya kongsikan tentang kursus kejurulatihan FAM ini, ia adalah berikut:
- Pastikan anda merancang sebaik mungkin cuti anda sebelum menyertai kursus ini. Kadangkala anda diminta datang lebih awal ataupun balik lebih lewat daripada tentatif program jika latihan belum tamat.
- Pastikan anda sentiasa peka dengan perkembangan terkini tentang kursus ini. Ada rakan saya yang membuat pra-pendaftaran dengan pihak Persatuan Bola Sepak. Jika ada kursus itu dibuka, pihak persatuan akan menghubungi mereka.
- Persiapkan diri anda secara fizikal dan mental sebelum menyertai kursus ini.
Selamat berjaya semua!