Ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto memberikan gambaran jelas mahu membawa masuk pemain skuad kebangsaan Indonesia bagi memperkuatkan skuad bimbingannya dalam menghadapi saingan Liga Super 2021 bermula penghujung Februari nanti.
Kurniawan pada mulanya langsung tiada dalam perancangan Sabah FC apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebelum ini, Datuk Verdon Bahanda telah melantik pengendali kelahiran Sarawak, Lucas Kalang Laeng sebagai ketua jurulatih baharu.
Bagaimanapun, keputusan drastik diambil Verdon dengan meletakkan jawatan susulan masalah dalaman yang dihadapi telah mengubah segalanya. Tugasan berat itu diberikan kepada Khairul Firdaus Akbar Khan dan sekali gus menyaksikan Kurniawan kembali mendapat kepercayaan untuk membimbing Sabah FC sambil dibantu Burhan Ajui.
Meskipun mengatakan sudah mengadakan perbincangan dengan pemain yang diinginkannya, Kurniawan bagaimanapun masih belum mahu mendedahkan identiti dan posisi pemain tersebut.
”Benar, saya sedang mencuba untuk membawa masuk seorang pemain berstatus skuad kebangsaan Indonesia,” ujar Kurniawan menurut laporan Goal Indonesia.
”Sekarang ini berada di dalam fasa menanti persetujuan daripada kelabnya sahaja. Mudah-mudahan perancangan ini dipermudahkan.”
”Sememangnya kami [Sabah FC] berminat untuk mendapatkannya. Saya akan maklumkan sekiranya kelabnya sudah memberikan jawapan berhubung perkara tersebut.”
Kurniawan turut mengakui status sebagai pemain import di Malaysia bakal memberikan peluang buat pemain yang berada dalam radarnya itu untuk terus meningkat dan mampu mengintai peluang beraksi di pentas lebih tinggi.
”[Berhijrah ke Sabah] boleh menjadi batu loncatan buatnya untuk bermain di peringkat yang lebih tinggi, misalnya seperti di Thailand, Jepun atau Korea Selatan.”
”Jika dia bermain di Sabah, dia akan belajar bagaimana untuk menghadapi tekanan dari diri sendiri, di mana pada ketika itu dia akan bergelar pemain import.”
”Jadi, tekanan dan harapannya sangat tinggi. Dia boleh belaja menghadapi tekanan dan dapat menjadikannya pemain yang kuat dari segi mental sebelum beraksi di tahap yang lebih tinggi.”
‘”Saya sudah mengenalinya dan tahu karakter pemain tersebut dan dia amat sesuai dengan corak permainan saya,” tambah Kurniawan lagi.
Kredit featured image: Detik.com
Baca artikel lain dari kami mengenai Kurniawan Dwi Yulianto dan Sabah: