Menurut pengendali Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, beliau sememangnya sudah bersedia untuk berdepan Terengganu FC dalam aksi kelima Liga Super 2021.
Selepas tewas tiga perlawanan berturut-turut, kedudukan Kurniawan selaku pengendali dilihat tergugat apabila pengurus pasukan, Marzuki Nasir mengeluarkan amaran keras terhadapnya dan turut menyatakan kekecewaan mereka terhadap prestasi pasukan.
Menurut kenyataan pengurusan Sabah, mereka memberi peluang buat Kurniawan dan mahu melihat semula prestasi The Rhinos dalam tiga perlawanan akan datang.
#bolatime #sabah Selepas mengalami tiga kekalahan berturut-turut dalam aksi Liga Super sehelum ini, pengendali Sabah Football Club (FC), Kurniawan Dwi Yulianto nampaknya enggan berkata banyak. https://t.co/OykSNDlpE9
— Harian Metro (@hmetromy) March 21, 2021
Berdepan pasukan yang berada di kedudukan kedua liga, Sabah yang ketika ini kembali diperkuatkan dengan semua pemain import berhasil meraih kemenangan sulung dan melonjak mereka keluar daripada zon penyingkiran yang dihuni minggu lalu.
Hanya Park Tae-su yang telah beraksi sejak perlawanan pertama, sementara pemain Indonesia, Saddil Ramdani, Sam Johnson (Liberia), Risto Mitrevski (Macedonia) dan Levy Madinda (Gabon) hanya dapat diturunkan bermula pada perlawanan ketiga.
Dan apa yang mereka pamerkan dalam perlawanan kelima berdepan Terengganu adalah satu yang diluar jangkaan para pemerhati bola sepak tempatan, malam itu.
Makan Konate yang cemerlang dalam beberapa perlawanan dengan empat bantuan gol yang diciptanya telah ‘disenyapkan’. Konate hilang dalam aksi tersebut apabila anak buah Kurniawan memenuhkan zon 14, tempat pemain itu beroperasi.
Ini diakui olehnya dalam sidang media. Katanya, “Kita tahu yang ‘otak’ serangan Terengganu ada pada [Makan] Konate. Saya sangat kenal pemain ini kerana dia lama bermain di Indonesia. Jadi kita cuba letak Park [Tae-su] di posisi tengah bertahan.”
“Kita guna formasi 4-3-3 dan Park diletakkan di posisi tersebut dan ditugaskan untuk sentiasa ada dekat dengan Konate agar dia tidak bebas memegang bola. Kita juga menukar bek kiri kita kerana kita tahu yang Faisal [Halim] sangat laju jadi pemain yang kita ada hanya Alto [Linus] dan Dendy [Lowa] yang mempunyai larian pantas,” jelasnya.
Beliau nyata berpuas hati dengan aksi yang telah dipamerkan oleh barisan pemainnya walaupun akhirnya mereka dibolosi di babak kedua. Ujarnya yang bersedia dikritik jika mereka gagal lagi, “Mereka betul-betul melakukan apa yang patut mereka lakukan.”
“Mereka sangat berdisiplin walaupun [kita tahu] tidak mudah bermain dalam tekanan. Mereka dituntut untuk menang dan beberapa pemain juga cedera tetapi alhamdulillah, para pemain sangat berdisiplin dan meraih tiga mata,” tambah Kurniawan lagi.
KREDIT FEATURED IMAGE: TFC
Baca lagi artikel lain mengenai Kurniawan dan Sabah FC:
Kurniawan Mahu Bawa Masuk Pemain Skuad Kebangsaan Indonesia Perkuatkan Sabah FC
Kurniawan Dwi Yulianto: Karier Kejurulatihan Saya Bakal Bermula Di Luar Negara