Melihat masa depannya di Manchester United seperti terumbang-ambing, pemain pertahanan dari Itali, Matteo Darmian dilaporkan mahu meninggalkan kelab tersebut.
Hal ini kerana beliau kurang diberikan peluang untuk beraksi sejak kehadiran Jose Mourinho di Old Trafford.
Jose Mourinho lebih gemar menggunakan khidmat pemain berpengalaman, Antonio Valencia bagi posisi pertahanan kanan.
Ia ditambah lagi dengan kehadiran pemain berusia 19 tahun yang baru sahaja direkrut Mourinho iaitu Diogo Dalot.
Pengurus kelahiran Portugal itu menjelaskan bahawa Darmian dibenarkan untuk meninggalkan United dengan syarat mereka mendapat tawaran yang baik.
Napoli dikhabarkan berminat untuk membawa Darmian ke Stadio San Paolo tetapi masih tiada tawaran formal yang dibuat setakat ini oleh kelab Serie A itu.
”Saya mahu beraksi dengan lebih kerap. Pada musim lalu, saya tidak banyak beraksi, itu adalah objektif dan cita-cita saya.”
”Itulah sebabnya saya berbincang dengan pengurus dan kelab mengenai masa depan saya.”
”Saya mahu meninggalkan pasukan tetapi kita lihat apa yang akan terjadi kerana kita tidak tahu mengenainya.”
Walaupun Valencia dan Dalot kini sedang mengalami kecederaan, Darmian masih tidak melihat itu sebagai peluang buatnya untuk bersaing.
”Saya tidak fikir kecederaan yang dialami Antonia (Valencia) adalah satu kecederaan yang serius. Saya tidak tahu berapa lama dia perlukan untuk berada di luar tetapi pada ketika ini dia adalah ketua pasukan, dia merupakan pilihan utama.”
Musim lalu, Matteo Darmian hanya beraksi sebanyak lapan perlawanan Liga Perdana Inggeris dan tiga daripadanya dimasukkan sebagai pemain simpanan.