Kuching City bakal menghadapi satu lagi perlawanan Liga Super musim 2023 dengan perlawanan seterusnya membabitkan pasukan tersebut menentang cabaran daripada kelab pelawat, Kuala Lumpur City (KL City).
Musim pertama dalam saingan Liga Super, segalanya tampak tidak begitu konsisten buat pasukan tersebut walaupun mereka berjaya mencipta kemenangan sulung pada awalnya ketika menentang Kelantan.
Selepas itu, jelas Kuching bergelut daripada segi prestasi mereka di atas padang dalam setiap perlawanan dihadapi untuk menyaksikan mereka berada di antara kedudukan tercorot Liga Super.
Pada pertengahan musim, bekas pengendali mereka iaitu Irfan Bakti Abu Salim mengambil tanggungjawab untuk meletakkan jawatan beliau dan digantikan kepada Aidil Sharin Sahak.
Selain Aidil, Kuching City juga turut membuat rombakan kecil untuk mendapatkan beberapa pemain baharu dan perubahan positif mula dirasai pasukan itu terutama sekali dalam saingan Challenge Cup.
Untuk saingan Challenge Cup, Kuching City berjaya melangkah ke final selepas segalanya bermula dengan siri kejutan pasukan tersebut mengatasi Kedah Darul Aman (Kedah) pada awal saingan.
Walaupun begitu, momentum pasukan tersebut tidak dapat berpanjangan selepas mereka ditewaskan oleh PDRM pada perlawanan akhir menerusi keputusan penuh 1-4.
Kini, Kuching City hanya perlu memberi fokus penuh untuk persaingan Liga Super pada baki dua perlawanan akan datang dengan mereka tidak boleh keciciran sebarang mata lagi.
Ini kerana pasukan tersebut berpeluang untuk menamatkan cabaran musim 2023 di tangga ke-12 sekurangnya jika mereka berjaya meraih enam mat maksimum pada baki dua perlawanan akan datang.
Pada masa sama, pasukan kendalian Aidil Sharin juga perlu mengharapkan Kelantan United tewas pada aksi terakhir mereka jika ingin mengintai kedudukan tersebut.
Walaupun begitu, ianya dianggap sedikit sukar buat Kuching City kerana dua lawan terakhir mereka ini juga sedang berada dalam momentum tersendiri.
KL City kini sudah tentu tidak ingin kehilangan momentum mereka selepas kejayaan pasukan tersebut mengatasi Kelantan United sebelum itu menerusi keputusan 3-0.
Begitu juga dengan kebangkitan dipamerkan oleh Negeri Sembilan yang kini konsisten meraih dua kemenangan berturut-turut dalam saingan Liga Super.
Apapun, Kuching City mampu merealisasikannya jika para pemain tampil mengikut segala perancangan ditetapkan oleh jurulatih serta konsisten untuk menjulang nama pasukan pada dua aksi mendatang.