Pasukan Liga Perdana, Kuantan FA dikatakan bakal berwajah baru apabila dikhabarkan akan diambil alih pengurusan baru bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim depan.
Musim ini pasukan itu berdepan dengan kemelut gaji yang masih tertunggak yang dialami oleh pemain skuad tersebut sehingga mencetuskan kontroversi di laman sosial dan mengundang campurtangan daripada Persatuan Pemain Bolasepak Professional (PFAM).
Bekas pengendali Kuantan FA, Zulhamizan Zakaria mengesahkan Kuantan FA akan diambil alih oleh pengurusan baharu sekali gus melenyapkan khabar angin kononnya pasukan itu akan menarik diri dalam kancah Liga Malaysia ekoran masalah kewangan yang melanda kelab yang terkenal dengan jolokan The Seagulls itu.
Beliau bercakap kepada Sinar Harian mengakui gembira dengan perkhabaran ini dan mengharapkan akan ada sinar baru untuk bekas pasukannya itu.
“Saya diberitahu memang akan ada pengurusan baru yang akan mengambil alih Kuantan FA. Mungkin mereka akan membuat pengumuman pada hujung bulan ini.
“Difahamkan mereka sudah mempunyai barisan pemain dan jurulatih mereka sendiri, tetapi mereka mungkin akan mengekalkan beberapa pemain lama untuk musim depan,” katanya kepada Sinar Harian.
Bulan September lepas, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengarahkan Kuantan FA dan PFAM menyerahkan afidavit berkenaan dengan isu tunggakan gaji pemain.
Setelah kes diteliti, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin menyatakan berlaku percanggahan fakta di dalam kes tersebut.
Menurut Hamidin, tunggakan gaji pemain Kuantan FA hanyalah sekitar 4-5 bulan sahaja. Dipetik daripada sumber Harian Metro, Datuk Hamidin berkata:
“Saya dimaklumkan oleh Bahagian Undang-undang (FAM) petang semalam mengenai isu Kuantan FA dan ia tidak seperti yang digambarkan pihak media.”
“Daripada laporan yang dihantar PFAM 28 Ogos yang lalu, cuma beberapa bulan saja gaji tidak dibayar serta membabitkan empat pemain bukan seluruh pasukan.”
Zulhamizan yang kini menjadi jurulatih pasukan PDRM berharap perkara sama tidak akan berulang lagi kepada kelab lamanya itu selepas direvolusikan semula.
“Ini memang berita yang menggembirakan untuk pemain yang masih tinggal selepas musim lalu kami dibelenggu masalah pembayaran gaji dan sebagainya.
“Sebagai bekas ketua jurulatih, saya mengucapkan selamat maju jaya kepada Kuantan FA dan diharapkan tidak berlaku lagi masalah-masalah membabitkan pembayaran gaji dan sebagainya,” katanya.