Bintang muda Harimau Malaya iaitu Fergus Tierney secara rasminya kini telah pun diperkenalkan selaku pemain import baharu Nakhon Pathom United buat saingan Thai League 1 di Thailand.
Umpama bulan jatuh ke riba, begitulah keadaan semasa Fergus yang boleh kita gambarkan setelah kontrak semasa dirinya terdahulu bersama Chonburi FC ditamatkan serta merta di pentas Thai League 2.
Ketika ramai mempersoalkan masa depan Fergus yang masih samar-samar, tuah terus memihak beliau apabila penyerang muda tersebut dilamar oleh Nakhon Pathom FC dan secara rasminya menjadi muka baharu dari Malaysia beraksi di saingan tertinggi Thailand.
Malah kehadiran Fergus bersama Nakhon Pathom juga dianggap cukup tepat, setelah pasukan itu sendiri mengalami masalah daripada segi kualiti penyudah sejak awal saingan bermula.
Terdahulu, kehadiran dua penyerang Nakhon Pathom iaitu Valdomiro Suarez serta Taku Ito tampil kurang memberansangkan sehingga kejurulatihan tersebut mengambil keputusan untuk memperkukuhkan lagi jentera serangan mereka.
Daripada 14 perlawanan diharungi, penyerang dari Jepun iaitu Taku Ito hanya mampu meledak lima gol sahaja, sementara Valdomiro pula telah menghasilkan empat jaringan semasa.
Secara keseluruhan pasukan itu telah menghasilkan 13 gol sahaja daripada 15 perlawanan dan berada di tangga kedua tercorot untuk ke zon penyingkiran.
Kehadiran Fergus kini membawa suatu cabaran cukup besar dan ketajaman beliau ditagih untuk melonjakkan kembali kedudukan semasa pasukan itu ke arah lebih baik.
Rekod positif dilakar Fergus bersama skuad Harimau Malaya serta ketika mewakili Chonburi itu pasti menjadi kelebihan terbaik buat dirinya untuk menaikkan lagi kualiti serangan Nakhon Pathom.
Walaupun daripada segi statistik jumlah jaringan dan sumbangan ke arah gol tidak begitu memberansangkan, tetapi corak permainan ditampilkan oleh Fergus cukup memberansangkan.
Kelebihan daripada segi kekuatan fizikal, serta bijak mencipta lorongan kepada rakan sepasukan bakal digunakan sepenuhnya oleh bintang muda Malaysia ini untuk aksi akan datang bersama kelab tersebut.
Malah, Fergus juga mempunyai keupayaan menyudahkan setiap peluang yang terhidang daripada pelbagai arah serta kebolehan melepaskan percubaan dari jarak jauh.
Pada usia masih muda, Fergus masih memiliki potensi untuk berkembang dengan lebih jauh serta menambah pengalaman sedia ada untuk menjadi salah seorang penyerang harapan Harimau Malaya.
Kami di Semuanya BOLA berharap lebih ramai pemain muda Malaysia mampu mengikuti jejak langkah Fergus pada masa hadapan untuk mencabar diri menjadi lebih baik.