Quantcast

BERITA

Kuala Lumpur FA Mungkin Akan Heret Kes Syazwan Andik Ke FAM

Nampaknya drama perpindahan kontroversi seperti Akhyar Rashid bakal berulang lagi kerana Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) mendakwa mereka seolah-olah ditipu apabila pemain pertahanan kiri, Syazwan Andik membuat keputusan untuk berhijrah ke pasukan lain.

Setiausaha Agung KLFA, Nokman Mustaffa berkata dalam Berita Harian, pihaknya terkejut apabila mendapat tahu Syazwan sudah berlatih dengan pasukan baharu tetapi langsung tidak menerima surat rasmi atau bayaran pampasan kontrak.

“Dia buat kami terperangkap dan cara dia melakukannya sangat tidak beretika kerana kami sudah mencapai persetujuan lisan.”

“Kami mendapat tahu daripada media dan dia kini berada di Johor. Dia ada menghantar surat untuk menyatakan mahu meninggalkan pasukan ini Rabu lalu, jadi kini kami terperangkap kerana sebelum ini, dia bersetuju selepas perbincangan diadakan dan sekarang dia berbuat begini.

“Dia menyatakan persetujuan secara lisan namun belum menandatangani kontrak, jadi kami percaya dengannya. Sama seperti Irfan Zakaria, dia menandatangani kontrak semalam (Khamis) namun Syazwan pula menyatakan sebaliknya.

“Saya berpegang pada janjinya namun nampaknya dia mengadakan perbincangan dengan pihak yang lain. Sudah tentu kami kecewa kerana dia mahu berjumpa dengan kami pada Rabu lalu tetapi dia tidak hadir,” katanya.

Syazwan Andik beraksi cemerlang dalam saingan Piala AFF bulan lepas.  (Photo by Allsport Co./Getty Images)

Difahamkan Syazwan sudah pun menyertai juara Liga Super lima kali, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan berlatih dengan pasukan itu meskipun dikaitkan dengan perpindahan ke Melaka United (MU).

Nokman mengakui KLFA berdepan tunggakan gaji selama sebulan dan kelompongan dalam kontraknya yang menyatakan sekiranya dia berdepan tunggakan gaji, kontraknya boleh dianggap terbatal.

KLFA juga tidak menolak kemungkinan untuk mengheret pemain itu kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sama seperti kes membabitkan Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dan Akhyar Rashid.

“Kami masih menunggu surat daripada JDT dan kami akan mengeluarkan maklum balas namun apapun, kontraknya bersama KLFA adalah sehingga November 2019.

“Dia sudah bersetuju pada perbincangan awal dan kami mungkin akan membawa kes ini ke FAM atau pihak yang lebih berkuasa,” katanya.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!