Skuad warga Kota, Kuala Lumpur tekad mencuri 3 mata penuh dalam aksi Liga Super menentang Pahang malam ini dan mula mencongak strategi bagaimana mahu menamatkan badi kekalahan di tempat lawan.
Skuad bimbingan Fabio Maciel itu masih gagal mencatat sebarang kemenangan di gelanggang lawan selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super.
“Rekod kami di gelanggang sendiri sangat baik sehingga mampu mengalahkan pasukan seperti JDT (Johor Darul Ta’zim), Kedah dan PKNS serta seri dengan Pahang.
“Tapi bila bermain di gelanggang lawan, ia menjadi sebaliknya. Siapa sangka kami boleh dikalahkan 4-1 oleh barisan muda Kelantan di Kota Bharu.
“Setakat ini kami tidak mendapat sebarang mata di tempat lawan. Ia salah satu punca mengapa Kuala Lumpur hanya mampu menduduki tangga kelapan. Sepatutnya kami sudah berada pada lima kelompok terbaik carta liga.
“Kami tidak boleh terus berkeadaan begini pada pusingan kedua kerana setiap perlawanan sama ada di tempat sendiri atau lawan sangat penting untuk mengumpul mata bagi memperbaiki kedudukan.
“Jadi, saya berharap kami dapat memecah kebuntuan ini malam esok. Saya yakin, sebaik badi ini dapat kami atasi, kemenangan di tempat lawan bukan lagi sesuatu yang sukar selepas itu,” kata Maciel kepada Berita Harian.
Jurulatih itu berkata, kini adalah kesempatan terbaik untuk menumbangkan Tok Gajah kerana pada pemerhatiannya, skuad bimbingan Dollah Salleh itu masih tercari-cari rentak selepas melakukan rombakan di barisan serangan.
“Dua pemain import baharu mereka (Austin Amutu dan Issey Nakajima) nampaknya belum mencapai keserasian ketika bertemu Kedah baru-baru ini. Jadi, kami perlu mengeksploitasikan situasi ini dengan sebaik mungkin.
“Namun, sudah pasti ia bukan perlawanan yang mudah kerana Pahang juga akan berusaha mencapai kemenangan selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut, apatah lagi bermain di depan penyokong sendiri,” katanya.