Tugas sukar sedang menanti skuad warga kota menjelang perlawanan pertama Liga Super 2019 menentang pasukan Pahang esok apabila mereka bakal menghadapi skuad tok gajah tanpa kelibat dua tonggak pertahanan.
Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Yusri Che Lah, mengesahkan dalam Stadium Astro, pemain pertahanan dari Indonesia, Achmad Jufriyanto, masih dilanda kecederaan dan terpaksa berehat selama beberapa minggu.
Achmad mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam perlawanan persahabatan menentang Pulau Pinang bulan lalu. Turut mengalami nasib yang sama ialah pemain baharu yang beraksi dengan Melaka United pada musim lalu iaitu Khair Jones.
Kecederaan yang dialami oleh pemain pertahanan import tersebut memaksa Yusri memikirkan pelan B iaitu dengan mengugurkan pemain tersebut untuk musim ini.
“Seandainya khidmatnya masih tidak dapat digunakan dalam waktu terdekat, saya mengharapkan pihak pengurusan Kuala Lumpur untuk melakukan sesuatu.
“Ia perlu dilakukan secara profesional kerana kami tidak berniat untuk menganiayai sesiapa.
“Ia demi kepentingan pasukan dan saya berharap Achmad akan pulih dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas mengenai pertemuan dengan Pahang esok, Yusri mahu barisan pemainnya berwaspada terhadap ancaman rangkaian serangan skuad tok gajah yang terdiri daripada Dickson Nwakaeme, Ze Eduardo, Saddil Ramdani dan Mohamadou Sumareh.
“Kami sedar Pahang akan turun dengan barisan pemain serba mantap.
“Mereka dibarisi pemain yang sama seperti musim lalu dan diperkuatkan dengan pemain import yang baru.
“Saya berharap pemain yang akan diturunkan nanti akan bermotivasi tinggi untuk memenangi mata yang dihajati,” tambahnya.