Kronologi Perjalanan Skuad Harimau Malaya Mencari Laluan Ke Pentas Asia Setakat Ini

Skuad kebangsaan bakal menghadapi perlawanan terakhir mereka dalam aksi kelayakan Piala Asia 2023 peringkat Kumpulan E malam ini bagi menentang Bangladesh di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Perlawanan malam ini juga bakal menjadi penentu buat skuad kebangsaan untuk layak atau tidak secara merit ke saingan Piala Asia tahun hadapan sekali gus menghadirkan rasa debaran buat para penyokong.

Sepanjang perjalanan skuad kendalian Kim Pan-gon ini dalam misi untuk memburu slot ke saingan tersebut tahun hadapan secara merit, pelbagai perkara telah berlaku dan menarik untuk diulas kembali sebagai suatu kenangan buat para pemain dan penyokong.

Nama de Paula tersenarai dalam barisan akhir skuad kebangsaan

Walaupun gagal menjelmakan aksi yang baik sepanjang dua perlawanan persahabatan Tier 1 menentang Brunei Darussalam dan Hong Kong, nama Guilherme de Paula tetap tersenarai dalam barisan akhir skuad kebangsaan bagi aksi kelayakan tersebut.

Perkara ini nyata mendapat pelbagai reaksi daripada penyokong dan mempertikaikan mengapa pemain yang tidak memberi impak dalam perlawanan persahabatan serta tiada minit permainan bersama kelab layak beraksi di saingan tersebut.

Tiada impak diberikan oleh de Paula setakat ini bersama skuad kebangsaan

Sehingga kini, de Paula masih gagal untuk meledak sebarang gol serta memberi kesan positif buat barisan serangan negara selain terus dikritik oleh penyokong kerana kelemahan beliau selaku penyerang naturalisasi.

Kejutan awal Harimau Malaya benam cabaran Turkmenistan

Skuad kebangsaan nyata mengejutkan ramai pihak apabila berjaya melakar kemenangan untuk mengatasi Turkmenistan dalam perlawanan pertama merek di peringkat kumpulan.

Tampil dengan aksi yang positif serta intensiti  sangat tinggi dalam perlawanan, membuatkan Turkmenistan langsung tidak dapat mengawal permainan dengan baik sehingga wisel penamat dibunyikan.

Tiga gol terhasil menerusi Safawi Rasid, Faisal Halim, dan Corbin Ong cukup untuk membuatkan skuad kendalian Pan-gon membawa tiga mata berharga selain lawan hanya memperoleh satu gol sagu hati sahaja.

Dalam aksi tersebut turut menyaksikan Faisal Halim dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan setelah tampil cemerlang untuk membantu serangan negara.

Isu padang yang sangat teruk sehingga dikecam hebat

Pada perlawanan kedua peringkat kumpulan baru-baru ini, maruah Malaysia selaku tuan rumah kejohanan tersebut seolah telah dirobek begitu sahaja kerana gagal untuk menyediakan padang yang bagus untuk perlawanan kelas antarabangsa di SNBJ.

Keadaan padang di SNBJ nyata menjadi tumpuan ramai dan mendapat kritikan daripada pasukan luar yang turut beraksi di situ kerana gagal untuk membuatkan mereka beraksi dengan lebih selesa, selain permainan ditampilkan juga tidak selancar seperti perlawanan pertama kerana masalah takungan air.

Keadaan padang di SNBJ amat menyedihkan

Lebih memburukkan keadaan, pihak bertanggungjawab gagal untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan sebaiknya pada malam pertemuan skuad negara menentang Bahrain apabila tiada kemudahan sepatutnya diberi kepada petugas untuk membuang takungan air di atas padang.

Anda bayangkan, hanya penyodok, paip air, serta kertas kadbod sahaja digunakan untuk membuang takungan air dalam kejohanan antarabangsa yang melibatkan tiga negara lain turut menjadi saksi suasana memalukan tersebut.

Malam tersebut juga menyaksikan malang buat penyokong bola sepak tempatan semakin bertambah setelah melihat keadaan haru biru petugas untuk membuang air di atas padang, mereka terpaksa pula menelan keputusan perit apabila Malaysia turut tewas di tangan Bahrain.

Kesilapan Farizal Marlias memberi tiga mata buat Bahrain

Dalam perlawanan sebelum ini ketika menentang Bahrain, skuad kebangsaan pada mulanya berpeluang untuk meraih sekurangnya keputusan seri bagi mengutip satu mata.

Namun sebaliknya berlaku apabila kesilapan yang dibuat Farizal Marlias telah menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan pada penghujung permainan untuk memberi kedukaan buat peminat setelah menyangkakan Malaysia sekurangnya berjaya meraih keputusan seri.

Reaksi kecewa Farizal Marlias setelah kesilapan yang dibuatnya ketika menentang Bahrain

Insiden tersebut telah membuatkan Farizal dikecam oleh kebanyakan para penyokong kerana menjadi salah satu punca kegagalan skuad kebangsaan untuk memperoleh keputusan positif.

Faizal Azumu tuduh penyokong punca kekalahan Malaysia

Umpama mencurah minyak ke api yang marak, itulah perumpamaan boleh diberikan kepada Menteri Belia dan Sukan iaitu Dato’ Seri Ahmad Faizal Azumu, apabila beliau mengeluarkan kenyataan tidak masuk akal semalam dengan menyalahkan para penyokong sebagai punca kekalahan Harimau Malaya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan beliau menerusi Harian Metro, Faizal nyata membela tindakan Farizal Marlias sambil menyatakan kesalahan tersebut kepada sorakan penyokong di SNBJ.

Kenyataan Faizal Azumu nyata menaikkan kemarahan para penyokong ketika ini

“Seingat saya sejurus jaringan pertama kelihatan beberapa kelibat pemain di luar padang antaranya Guilherme De Paula akan dimasukkan ketika itu yang menyebabkan seluruh stadium bersorak.

“Sorakan sedemikian menyebabkan pemain hilang fokus, sekali gus skuad kita terlepas daripada menjaringkan gol.

“Jadi kalau hendak kata (kekalahan) disebabkan 100 peratus faktor pemain pun, sebenarnya kita sebagai penonton menyumbang kepada larinya fokus pemain.

“Kalau saya yang berada di atas padang ketika itu pun, apabila orang ramai tiba-tiba menjerit (bersorak), fokus saya pun menghilang sedikit,” jelas beliau menerusi Harian Metro.

Kesimpulan

Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan kritikan oleh segelintir penyokong, jelas skuad kebangsaan dilihat tidak luntur dari segi motivasi apabila bakal menghadapi Bangladesh malam ini dengan moral tinggi.

Pan-gon pastinya mahu menutup tirai aksi kelayakan Piala Asia 2023 bagi Kumpulan E ini dengan kejayaan dan membalas kepercayaan ribuan penyokong yang hadir sepanjang kempen berlangsung menerusi kemenangan.

Semoga Harimau Malaya bakal mengaum malam ini untuk mengetepikan cabaran Bangladesh sekali gus membuka peluang buat skuad negara melayakkan diri secara merit ke Piala Asia tahun hadapan.

Kredit foto: FAM

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN