5 Krisis Geopolitik Yang Memberi Impak Kepada Bola Sepak Di Eropah

Krisis geopolitik dan bola sepak memang akan berkaitan antara satu sama lain. Walaupun sukan bola sepak sepatutnya bebas daripada unsur-unsur seperti itu.

Terbaru, beberapa buah negara telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar sejak Isnin lalu. FIFA dikhabarkan sentiasa berhubung dengan Jawatankuasa Penganjuran Piala Dunia 2022.

Kita semua maklum negara kecil di Timur Tengah mendapat mandat hos Piala Dunia pada 2022.

Kali ini, kami membawakan anda 5 contoh krisis geopolitik di Eropah yang berkait rapat dengan sukan nombor 1 di dunia ini

1. Rusia – Ukraine

Ia bermula apabila penduduk Ukraine menentang kepimpinan Presiden negara itu kerana beberapa isu.

Kemudian ia melarat kepada keputusan pungutan suara penduduk wilayah Crimea yang memilih meninggalkan Ukraine dan sekaligus menyertai Rusia.

Namun, pemisahan Crimea daripada Ukraine dan menyertai Rusia tidak diiktiraf masyarakat dunia.

Berkisar kepada isu bola sepak, UEFA mengambil tindakan pro-aktif. Mereka menetapkan sebarang pasukan dari Ukraine tidak akan diundi bertemu mana-mana pasukan dari Rusia. Dikhabarkan kini, peraturan itu masih terpakai.

Bukan itu sahaja, UEFA tidak mengiktiraf kewujudan dua kelab Crimea dalam liga Rusia. Kelab tersebut ialah TSK Simferopol dan SKCHF Sevastopo.

TSK Simferopol merupakan kelab baru setelah kelab asal, Tavriya Simferopol ditutup. SKCHF Sevastopol juga dibentuk setelah kelab asal, FC Sevastopol  dibubar.

Faktor penutupan kelab tersebut ialah berkait rapat dengan krisis Crimea.

UEFA dengan kreatifnya membentuk Crimean Premier League sebagai solusi ini. Dua kelab ini bertanding dalam saingan liga itu bersama 6 kelab lain.

TSK Simferopol menjadi juara sulung pada 2016. Tetapi, UEFA menegaskan mereka tidak akan memberi tiket ke kejohanan  kelolaannya seperti UEFA Champions League.

2. Rusia – Georgia

Rusia lagi! Sebenarnya ia telah berlaku pada 2008 apabila barisan separatis Ossetia Selatan yang mendapat sokongan Rusia ingin berpisah daripada Georgia.

Abkhazia yang di bawah pentadbiran Georgia juga ingin berpisah daripada negara itu. Rusia juga memberikan sokongan kepada Abkhazia.

UEFA lantas mengambil keputusan untuk mengasingkan mana-mana perlawanan melibatkan Rusia dan Georgia. Namun, ia telah pun berakhir pada 2014.

Badan bola sepak kedua-dua negara bersetuju untuk bermain menentang satu sama lain. Kelayakan EURO 2016 menjadi medan pertemuan pertama setelah UEFA memisahkan mereka buat sementara

3. Armenia – Azerbaijan

Rantau Caucasus tidak pernah sunyi daripada konflik. Kali ini, konflik antara Azerbaijan dengan Armenia.

Azerbaijan mentadbir sebuah kawasan bernama Nagorno – Karabakh. Kawasan itu dihuni majoriti etnik Armenia. Penduduk kawasan itu telah memilih untuk meninggalkan Azerbaijan dan menyertai Armenia.

Namun Azerbaijan memilih untuk tidak membenarkan kemerdekaan kawasan itu.

Sewaktu Kelayakan EURO 2008, kedua-dua negara ini, diletakkan dalam Kumpulan A. Azerbaijan enggan menentang Armenia untuk perlawanan kelayakan.

Akhirnya, UEFA membatalkan perlawanan tersebut dan tiada mata diberikan.

Kelayakan EURO 2012 pula, mereka diundi bersama sekali lagi. Tetapi, UEFA mengambil keputusan memindahkan Armenia ke Kumpulan B.

Sehingga kini, tidak dapat dipastikan adakah penetapan UEFA agar kedua-dua pasukan ini tidak bertembung akan berakhir.

4. Serbia – Kosovo

Kosovo, sebuah negara yang wujud setelah meninggalkan Serbia. Serbia tidak henti-henti mempertikaikan penerimaan masyarakat sukan antarbangsa kerana menerima Kosovo sebagai negara baru dalam arena sukan.

FIFA telah memberikan keahlian kepada Kosovo pada tahun 2016. Ia memberikan ruang kepada pasukan itu bertanding dalam Kelayakan Piala Dunia 2018.

Namun, UEFA menetapkan Kosovo tidak akan dipertemukan dengan Serbia di atas faktor keselamatan dalam mana-mana pertandingan. Selain itu, Kosovo juga tidak akan beradu tenaga menentang Bosnia & Herzegovina kerana faktor yang sama.

Akhirnya, Kosovo diletakkan di dalam kumpulan I untuk cabaran layak ke Rusia pada tahun hadapan.

5. Sepanyol – Gibraltar

Gibraltar merupakan salah satu ‘British Overseas Territory’. Meskipun ditadbir oleh kerajaan Britain, kedaulatannya seringkali dicabar oleh Sepanyol. Ini kerana Sepanyol menganggap Gibraltar sebagai wilayahnya.

Dahulunya, ia memang di bawah pentabdiran Sepanyol, tetapi bertukar tangan kepada Britain selepas Treaty of Paris 1783. Malah, penduduk Gibraltar dua kali mengundi dalam pungutan suara dan menolak untuk meninggalkan Britain.

Sepanyol pernah menjadi salah satu punca utama kegagalan Gibraltar menjadi ahli UEFA pada 1999. Namun, negara kecil itu tidak putus asa. Akhirnya pada 2013, UEFA menerima keahlian Gibraltar.

FIFA menerima keahlian Gibraltar pada 2016. Namun, penetapan telah dibuat bahawa pasukan Sepanyol tidak akan dipertemukan dengan Gibraltar untuk mana-mana perlawanan.

Tambah menarik, Gibraltar tidak memiliki stadium yang mengikut perincian UEFA. Gibraltar hanya mempunyai Victoria Stadium tetapi tidak mengikut syarat UEFA.

Mereka akhirnya menumpang di sebuah stadium di Portugal iaitu Estadio Algrave.

Takkanlah nak sewa stadium di Sepanyol?

Kesimpulan

Sebenarnya banyak lagi konflik antarabangsa yang menyebabkan badan pengurusan sukan terheret sama dalam membuat keputusan.

Misalnya Sepanyol-Catalonia-Basque, England-Wales-Scotland, dan Germany United.

Tetapi, dengan pengalaman serta kebijaksanaan, sekurang-kurangnya suhu permusuhan negara ini diredakan.

Bukan apa, ada yang kata Yugoslavia pun runtuh disebabkan perkaitan bola sepak. Takkanlah kita mahu lihat pisang berbuah dua kali bukan?

Belajarlah dari sejarah krisis geopolitik ini, kerana jika tidak mempelajarinya, kita berisiko untuk ulanginya berkali-kali.

Jadi, dalam isu isu hubungan diplomatik Qatar dengan beberapa negara baru-baru ini sudah pastinya akan memberikan kesan kepada Piala Dunia Qatar selepas ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN