Tatkala prestasi semasa Sri Pahang yang tidak konsisten, pasukan itu sebenarnya masih dibarisi oleh beberapa pemain berkualiti yang berjaya meninggalkan impak buat kelab tersebut pada musim ini,
Kpah Sherman antara contoh import paling bernilai buat Sri Pahang pada saingan musim ini, jika kita lihat daripada segi sumbangan serta pengaruh beliau buat Tok Gajah pada saingan 2024/2025.
Penyertaan beliau sejak musim 2023 lalu boleh dianggap cukup berbaloi, walaupun Kpah tidak lagi begitu berbisa selaku mesin gol seperti dipamerkan pada tahun-tahun sebelum ini di saingan Liga Malaysia (Liga M).
Pengalaman dimiliki pemain kebangsaan Liberia itu dipamerkan dengan cukup baik apabila beliau acapkali diberi peluang selaku kapten pasukan tersebut di atas padang.
Tidak hanya bertindak selaku penggempur utama, Kpah juga kadangkala bijak menyusun serangan dan beberapa gerakannya membuahkan hasil buat rakan sepasukan lain meledak gol.
Bagi persaingan musim ini sahaja menyaksikan Kpah sudah beraksi sebanyak 24 perlawanan buat Sri Pahang dan pemain tersebut telah merekodkan 11 gol bersama dua bantuan jaringan.
GOAL KPAH SHERMAN! 2 goal yang lawo dari pemain pemain Pahang malam ni.
What a goal lagi laa malam ni! pic.twitter.com/1MA0c1uVPc
— Twt Bola Pahang (@TwtBolaPahang) February 16, 2025
Dua jaringan terbaharu direkodkan Kpah ketika Sri Pahang merekodkan kemenangan 3-1 mengatasi cabaran PDRM ketika aksi berlangsung di gelanggang lawan.
Kemarau tanpa kemenangan, akhirnya skuad kendalian Fandi Ahmad kini berjaya menoktahkannya kembali untuk memastikan semangat dan momentum pasukan meningkat semula.
Pada aksi tersebut, Kpah memainkan peranan cukup penting dalam menggerakan serangan Sri Pahang selaku penggempur utama demi mendapatkan jaringan berharga.
Kekuatan fizikal, dan sentiasa berada di kedudukan tepat untuk menerima bola menjadikan beliau sukar untuk diatasi oleh pertahanan PDRM pada saingan tersebut.
Hasilnya, beliau membuktikan dirinya masih lagi layak untuk bergelar antara peledak berbisa di Malaysia dengan dua gol peribadi direkodkan beliau sewaktu mengatasi PDRM.
Sementara satu lagi gol Sri Pahang diledak oleh pemain versatil mereka, Stefano Brundo dan jaringan tunggal daripada pasukan tuan rumah terhasil melalui Bruno Suzuki.
Apapun, sedikit sayang kerana Kpah tidak dapat mempamerkan ketajaman beliau bagi aksi terakhir Piala Malaysia 2024/2025 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) kerana digantung perlawanan akibat layangan kad kuning.