Masalah visa yang dihadapi pemain import Kedah, Kpah Sherman seperti dilaporkan telah berjaya diselesaikan dan pemain tersebut kelihatan sudah menyertai pasukan di Seoul, Korea Selatan.
Tinjauan di laman Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Kedah menyaksikan penyerang kelahiran Liberia itu sudah mula menjalani latihan bersama rakan sepasukannya yang lain.
Perkembangan terkini itu nyata melegakan kem skuad Lang Merah yang pastinya menagih sentuhan penyerang berbisa berusia 27 tahun itu. Ia juga pasti memberikan kegembiraan buat para penyokong setia skuad Kedah.
Dalam pada itu menurut sumber Berita Harian, Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Asmirul Anuar Aris, meluahkan rasa yakinnya terhadap keupayaan setiap pemain yang dimiliki Aidil Sharin Sahak itu dan tidak mahu fokus mereka terganggu.
“Mereka (pemain gantian) mempunyai tahap hampir sama dengan pemain utama. Jadi saya percaya dan yakin bahawa kesebelasan utama ini akan mencatatkan kemenangan di Korea Selatan. Doa diperlukan dari rakyat Kedah dan seluruh rakyat Malaysia.”
“Sebagai pemain profesional, perubahan cuaca tidak boleh dijadikan alasan dan mereka perlu bersiap sedia kepada segala kemungkinan tidak kira tempat, padang dan sebagainya,” katanya.
Kedah layak ke pusingan ketiga Kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2020 untuk menentang FC Seoul pada aksi petang nanti selepas berjaya menundukkan kelab Hong Kong, Tai Po FC dengan keputusan 5-1 hasil hatrik daripada Kipre Tchetche dan dua gol lagi disumbangkan Muhammad Hadin Azman.
Sekiranya kemenangan berjaya dilakarkan Baddrol Bakhtiar dan rakan sepasukannya, Kedah akan mengiringi Johor Darul Ta’zim yang melayakkan diri secara automatik ke peringkat kumpulan atas tiket selaku juara Liga Super 2019.
Kredit foto: FA Kedah