Dua penyerang sensasi Liga Super dan Kedah Darul Aman FC musim lalu, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche telah sah menyertai Terengganu FC untuk saingan Liga Super 2022 dan ini dijangka memberi impak segera.
Musim lalu, Terengganu sangat bermasalah di jentera serangan apabila David da Silva yang diharapkan untuk menjadi penggempur berbahaya gagal secara total untuk memberikan impak bagi membantu pasukan.
David da Silva v Jordan Mintah
Dalam saingan Liga Super, beliau tampil 15 kali dengan semuanya dalam skuad utama dan meledak tujuh gol sahaja – purata 0.46 gol untuk setiap perlawanan. Penyerang kedua mereka yang dinaikkan pangkat daripada TFC II, Jordan Mintah pula melakar empat gol daripada enam penampilan – purata 0.66 gol setiap perlawanan.
Statistik itu pun sudah menggambarkan Jordan Mintah lebih baik walaupun hanya tampil sebagai pengganti sementara buat David da Silva. Jordan Mintah juga jika diberi ruang yang lebih mampu menjadi penggempur berbahaya mereka. Ini kerana beliau adalah ‘si pakar statistik’ menurut penganalisis bebas, Zuraimi Zukri.
Jadi, mengapa pengendali, Nafuzi Zain masih membawa masuk duo Kedah pada musim lalu itu? Mungkin pelbagai sebab mampu diberikannya tentang keputusan tersebut antaranya memiliki penyudah yang tajam.
Mengapa Terengganu Ambil Risiko Kembalikan Jordan Mintah Ke TFC II?
Ketajaman ‘African duo’ di Kedah
Kedah melakar 44 gol musim lalu – ketiga terbanyak dalam saingan Liga Super selepas Johor Darul Ta’zim (50 gol) dan Selangor FC (45 gol). 23 daripada 44 jaringan itu dihasilkan oleh kedua-duanya iaitu kira-kira separuh daripada keseluruhan gol pasukan. Jika Kpah Sherman tidak terlibat dengan skuad kebangsaan, tentu ia lebih.
Kpah Sherman terlepas majoriti daripada ‘kehilangannya’ disebabkan pulang ke Liberia bagi bersama skuad kebangsaan. Dan di saat itu, skuad Hijau Kuning bergelut. Dalam 17 penampilan, beliau meledak 13 jaringan.
Ini menjadikannya calon utama untuk menjadi penggempur Terengganu musim depan. Memasuki musim ke-6 dalam saingan liga di Malaysia, beliau sangat ‘mesra’ dengan persaingan dalam kancah Liga Malaysia.
Untuk Kipre Tchetche, dalam 21 penampilannya, beliau mencetak 10 gol. Hanya apabila Kpah Sherman tiada, beliau diletakkan sebagai penggempur utama, selainnya beliau akan bertukar posisi antara sayap menyerang kanan, kiri serta pemain tengah menyerang. Jumlah gol mereka jelas menghadirkan gerun terhadap lawan.
Kedua-dua pemain akan saling melengkapi antara satu sama lain untuk menghukum pertahanan lawan.
Ratio gol lebih baik daripada David da Silva
Musim 2020 adalah musim terpendek Liga Super dilangsungkan dengan pandemik Covid-19 melanda dunia.
Kedua-dua pemain diturunkan oleh Aidil Sharin dalam semua 11 perlawanan dan mereka masing-masing meledak enam gol. Ratio jaringan Kpah Sherman dalam dua musim adalah 0.68 gol setiap perlawanan, sementara Kipre Tchetche pula mencatatkan 0.5 gol. Jelas ia ratio yang lebih baik berbanding David da Silva.
Kpah Sherman: Nantikan ‘Gandingan Afrika’ Saya Bersama Kipre Tchetche
Mereka tiada masalah bekerjasama, malah Kpah Sherman ada menyatakan ‘nantikan gandingan Afrika kami‘ ketika musim pertama mereka berdua bersama skuad Hijau Kuning. Kali terakhir penyerang Kedah meledak lebih 10 gol dalam semusim saingan liga adalah pada 2017 yang dilakar Ken Ilso – 15 gol dalam 18 aksinya.
Terdapat pelbagai nama sudah diberikan peluang menjadi penyerang utama selepas Ken Ilso seperti Paulo Rangel, Pablo Palares, Fernando Rodriguez dan Jonathan Bauman, namun mereka tidak meninggalkan impak yang berkesan di jentera serangan skuad Hijau Kuning. Adakah Kedah akan bergelut mencari pengganti lagi?
Sifir mudah Nafuzi Zain dengan dua pemain ini
Kipre Tchetche adalah penyerang yang ‘mobile’ dan bukan targetman seperti Kpah Sherman. Terbukti di Kedah, Aidil Sharin memberikan ruang kepadanya untuk bermain di empat jenis posisi – pemain sayap menyerang kanan dan kiri, penyerang kedua (deep lying forward) serta penyerang utama – ketika Kpah Sherman tiada.
Di Terengganu, dijangkakan Nafuzi Zain akan memanfaatkannya untuk berada di belakang Kpah Sherman. Ini kerana di sayap menyerang kanan dan kiri, Sang Penyu sudah ada pemain-pemain yang terbaik seperti Faiz Nasir dan Faisal Halim. Posisi itu tidak bermasalah, jadi tidak perlu perubahan drastik dilakukannya nanti.
1/3 Sedikit analisa taktikal permainan membabitkan TFC vs JDT #MSL2021
📌Terengganu FC pertaruhkan formasi 1-4-3-3 dengan cuba memenangi bola di mid third dan fast transition
📌 JDT kekal formasi 1-4-3-3 dengan falsafah dynamic attacking football pic.twitter.com/QgmXcVZo2B
— FR (@fariqrahman_) April 25, 2021
Formasi yang dimainkan Terengganu adalah 4-3-3 atau lebih kepada 4-3-2-1. Musim lalu, mereka bertunjangkan tiga pemain di jentera tengah – sememangnya di tengah. Antara yang selalu digandingkan musim lalu adalah Makan Konate, Habib Haroon dan Lee Tuck. Mungkinkah Nafuzi Zain akan ada asas formasi baru selepas ini?
Mungkin jentera tengah Terengganu selepas ini akan bertunjangkan dua pemain sahaja. Seperti yang kita lihat setakat ini, Manuel Ott akan bertindak sebagai playmaker dan seorang lagi pemain tengah akan bergandingan dengannya. Ia sama ada Luke Woodland yang dilihat boleh bertindak sebagai pemain tengah bertahan?
Formasi 4-2-3-1 mungkin formasi yang terbaik dengan kehadiran Kipre Tchetche dan Kpah Sherman bersama. Jordan Mintah yang memiliki ratio jaringan yang baik mungkin ‘terpaksa’ didaftarkan bersama TFC II dan akan menjadi ‘backup’ kepada Kpah Sherman, jika pemain itu tidak dapat diturunkan dalam mana-mana perlawanan.
Penutup
Kehadiran Kpah Sherman dan Kipre Tchetche diakui Nafuzi Zain akan meningkatkan prestasi jentera serangan. “Kita boleh nampak bagaimana Terengganu telah menambahbaik kualiti pasukan terutamanya di bahagian serangan di mana kita ada tiga pemain ini [Jordan Mintah, Kipre Tchetche, Kpah Sherman],” ungkapnya.
“Dan saya memang berharap kombinasi mereka dapat memberi impak kepada pasukan,” tambahnya lanjut.