Bekas pemain PKNS, Kedah dan Terengganu, Kpah Sherman kini membawa dirinya ke Sri Pahang untuk saingan musim baharu Liga Malaysia.
Selepas dilepaskan oleh Terengganu, Sherman memilih untuk terus kekal di Pantai Timur dengan Pahang menjadi destinasi pilihannya.
Untuk rekod, Sherman adalah salah seorang daripada lebih 10 pemain yang dilepaskan Terengganu termasuklah Faisal Halim dan Manuel Ott.
Dalam pengumuman yang dilakukan oleh Pahang, mereka akan berbesar hati berjaya mendapatkan Sherman yang dianggap sebagai ‘mesin gol’ dalam Liga Malaysia.
“Sri Pahang berbesar hati memperkenalkan pemenang kasut emas Liga Super 2019, Kpah Sherman sebagai wajah baru di barisan serangan.
“Sejak beraksi di Liga Malaysia bermula 2017, penyerang dari Liberia ini telah membuktikan dirinya sebagai antara penyerang berkualiti ‘kaki gol’ dengan meledak keseluruhan 72 gol bersama MIFA, PKNS, Kedah dan Terengganu,” kata Pahang dalam kenyataan mereka.
Sherman sememangnya sudah lama berada dalam radar bola sepak Malaysia dengan ketajaman yang dimilikinya sentiasa mencuri tumpuan ramai.
Sebelum ini, Sherman ‘meletup’ bersama-sama PKNS sebelum mencipta gandingan duo bersama-sama seorang lagi penyerang import iaitu Kipre Tchetche ketika menyertai Kedah dan juga Terengganu.
Menarik untuk disaksikan bagaimana Fandi Ahmad akan membuatkan Sherman kembali ke tahap terbaiknya sebagai penyerang dan menjadi igauan pertahanan pasukan lawan.
Pasukan pertama yang disertai oleh Sherman di Malaysia ada MISC-MIFA.