Pemain pertahanan Napoli, Kalidou Koulibaly mahukan bintang Liverpool iaitu Sadio Mane diangkat sebagai pemenang Ballon d’Or.
Menurut laman Football Italia, pemain tersebut pastinya akan menyokong rakan senegaranya itu dalam usaha memecahkan dominasi Lionel Messi dan juga Cristiano Ronaldo dalam anugerah itu.
“Saya akan sokong Mane,” ujar beliau ringkas ketika ditanyakan soalan itu.
Mane bersama-sama Mohamed Salah, Riyad Mahrez, Pierre-Emercik Aubameyang dan Koulibaly sendiri menyertai kontinjen Afrika dalam senarai tersebut.
Dalam masa yang sama, Koulibaly jelas gembira melihat begitu ramai wakil pemain dari benua Afrika telah terpilih ke dalam senarai pendek bagi Ballon d’Or.
Beliau menanggap kini merupakan zaman terbaik untuk bola sepak Afrika kerana ramai pemain yang sudah meningkat naik di liga-liga utama dunia.
“Kami sudah mengimpikannya untuk bertahun lamanya. Untuk melihat beberapa pemain Afrika tercalon dalam Ballon d’Or menjadi bukti kemajuan yang telah dilakukan oleh bola sepak benua ini.”
“Sadio Mane, Riyad Mahrez, Mohamed Salah, semuanya adalah pemain yang cukup hebat. Saya akan letakkan juga Pierre-Emerick Aubameyang supaya kita akan ada generasi pemain Afrika yang cukup hebat.”