Kisah ‘Chollima’ Kuda Bersayap Korea Utara Dambaan Middlesbrough Yang Menewaskan Itali

Di Korea Utara terdapat sebuah persiaran yang dikenali sebagai Persiaran Sukan di mana atlet-atlet yang pernah mengharumkan nama negara ditempatkan, untuk memastikan mereka menikmati kehidupan yang selesa selepas bersara.

Bekas atlet yang pernah mengharumkan nama negara akan dianugerahkan dengan sebuah apartment kediaman oleh negara komunis itu.

Salah seorang penduduk di kediaman yang disediakan oleh kerajaan Korea Utara itu ialah Park Doo-Ik.

Bagi kita nama Park Doo-Ik mungkin sedikit asing. Tetapi bagi rakyat Korea Utara, Park Doo-Ik adalah hero sepanjang zaman rakyat negara berkenaan dalam sukan bola sepak.

Italy vs Korea Utara (Piala Dunia 1966)

Park Doo-Ik adalah penjaring gol tunggal untuk Korea Utara ketika mengejutkan Itali di kejohanan Piala Dunia 1966 yang diadakan di England.

Sehingga ke hari ini, keputusan perlawanan tersebut dianggap antara kejutan terbesar yang pernah berlaku di dalam dunia bola sepak, mengambil kira ia adalah penyertaan pertama Korea Utara dalam temasya bola sepak terbesar dunia itu.

(Photo by Ross Kinnaird/Getty Images)

Kemenangan ke atas Itali  melayakkan Korea Utara untuk mara ke peringkat suku akhir. Bagaimanapun Park Doo-Ik dan juga rakan sepasukannya tewas 5-3 kepada Portugal yang diketuai oleh kehebatan Eusebio pada masa itu.

Manakala Itali terpaksa pulang ke tanah air dengan kekecewaan, dan disambut dengan balingan telur dan tomato.

Perjalanan ‘Road to England 1966’

Piala Dunia 1966 jauh berbeza dengan anjuran edisi kejohanan tersebut pada hari ini. Hanya 16 pasukan yang bertanding dan dibahagikan kepada 4 kumpulan.

10 slot adalah untuk negara Eropah, 4 slot diberikan kepada benua Amerika Selatan, 1 slot daripada CONCACAF, dan 1 slot lagi menjadi rebutan negara-negara Asia, Afrika dan juga dari benua Oceania.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Benua Afrika memboikot Piala Dunia 1966 kerana tidak berpuas hati dengan pergantungan Afrika Selatan oleh FIFA kerana isu apartheid. Afrika juga berpendapat FIFA seharusnya memberi 1 slot automatik untuk negara dari rantau berkenaan.

Korea Selatan turut menarik diri daripada pusingan kelayakkan tersebut. Ini bermakna hanya Korea Utara dan juga Australia sebagai wakil Oceania akan beraksi di perlawnan penentuan untuk  ke pusingan akhir Piala Dunia 1966 di England.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Australia seakan-akan memandang rendah akan kemampuan wakil dari Asia dalam 2 perlawanan timbal balik tersebut.

Korea Utara pada masa itu sedang dalam proses pembinaan balik negara berkenaan selepas peperangan saudara yang tercetus pada zaman 1950 an.

Oleh itu, walaupun diadakan secara timbal balik, kedua-dua perlawanan ‘play off’ itu diadakan di Kemboja.

Diinspirasikan dengan kisah rakyat dan mitos Chollima (kuda bersayap), pasukan Korea Utara pada era itu bermain secara agresif, lincah dan pantas sekaligus mengejutkan lawan mereka dengan agregat 9-2 untuk Korea Utara hadir ke England sebagai wakil daripada benua Asia.

Selamat datang ke Middlesbrogh, England

Satu lagi masalah Korea Utara ketika Piala Dunia 1966 ialah kesukaran untuk mendapatkan permohonan visa untuk memasuki negara British itu.

Selepas rundingan diadakan dengan kerajaan British, akhirnya pasukan bola sepak beserta pegawai Korea Utara tiba di Middlesbrough untuk perlawanan peringkat kumpulan di Ayresome Park.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Kehadiran pasukan Korea Utara disambut dengan baik. Mereka memperolehi sokongan penduduk tempatan yang menganggap mereka sebagai sebuah pasukan underdogs.

Perlawanan pertama peringkat Kumpulan 4 itu menyaksikan Korea Utara ditewaskan oleh Soviet Union dengan jaringan 3-0. Jelas pasukan Soviet mempunyai kelebihan fizikal yang lebih bagus berbanding dengan Park Doo-Ik dan rakan-rakan yang memiliki purata ketinggian 5ft 5ins sahaja.

Perlawanan kedua menyaksikan Chile menjaringkan gol pertama perlawanan melalui Ruben Marcos sebelum gol minit akhir Park Seung-zin memberikan 1 mata berharga untuk mengikat Chile 1-1.

(Photo by PA Images via Getty Images)

Pemimpin teragung Korea Utara pada masa itu, Kim Il Sung berpesan kepada pemain-pemainnya sebelum hadir ke Piala Dunia:

“Saya mahukan kalian mencatatkan sekurang-kurangnya satu atau dua kemenangan di Piala Dunia nanti.”

Skuad Korea Utara hanya ada satu lagi peluang untuk memburu kemenangan, dan ianya ialah dengan menewaskan Itali.

Ketika bertemu Itali, penjaga gol yang hanya memiliki ketinggian 5ft 5ins, Lee Chang-Myung bertindak cemerlang. Di Korea Utara rakyatnya hanya berpandukan radio untuk mendapatkan gambaran perlawanan.

(Photo by Popperfoto/Getty Images)

Jaringan Park Doo-Ik menyebabkan rakyat Korea Utara membanjiri setiap pelusuk jalan utama meraikan kemenangan dan menangis kegembiraan.

Kemenangan ke atas Itali bermakna Korea Utara harus ke Liverpool untuk perlawanan menentang Portugal. Masalahnya, mereka tidak menempah kemudahan penginapan kerana tidak menjangka akan mara sejauh itu.

Akhirnya, skuad Korea tersebut terpaksa berpuas hati untuk menginap di sebuah pusat ‘retreat’ Kristian di Loyola Hall.

Suku akhir Piala Dunia 1966

Latihan selama 18 bulan yang dijalani bersama sebelum ke England menyebabkan skuad Korea punyai kebiasaan untuk menginap dan berehat bersama-sama di dalam sebuah dorm.

Di Loyola Hall, mereka diberikan bilik yang berasingan. Ia adalah pengalaman yang asing buat pemain-pemain dari Korea itu .

(Photo by PA Images via Getty Images)

“Pada sebelah malam, saya boleh melihat sebuah gereja kecil di bawah cahaya lampu limpah. Di sebelah dalamnya, saya boleh melihat patung Jesus pada sebuah salib, dengan kedua-dua belah jarinya dipaku pada salib.”

“Ia sangat mengerikan dan saya tidak pernah melihat perkara sebegitu sebelum ini. Semua itu menakutkan kami dan kami sukar melelapkan mata pada malam itu,” ujar Park Doo-Ik ketika diwawancara dalam sebuah dokumentari mengenai pasukan tersebut.

Dakwaan Park Doo-Ik bahawa beliau dan rakan-rakannua kurang tidur sebelum hari perlawanan mungkin ada asasnya.

Ketika berhadapan dengan Portugal di Goodison Park, Korea Utara mendapat sokongan lebih kurang 3000 penyokong Middlesbrough yang sanggup merentasi perjalanan untuk memberikan sokongan kepada pasukan itu.

. (Photo by PA Images via Getty Images)

Jelas Korea Utara telah berjaya mencuri hari penyokong dari Middlesbrough dengan bola sepak pantas mereka.

Korea Utara menyambut sokongan tersebut dengan 3 gol dalam tempoh 25 minit perlawanan. Namun demikian, mungkin kerana keletihan, mereka tewas 5-3. Eusebio menjaringkan 4 gol untuk Portugal dalam perlawanan tersebut.

Pasca Piala Dunia 1966

Selepas kejohanan tersebut, skuad Piala Dunia Korea Utara hilang daripada radar bola sepak dunia selama 40 tahun. Ada yang mengatakan mereka telah dihantar ke penjara kerana mabuk ketika meraikan kemenangan ke atas Itali.

Pemain-pemain yang berjaya dijejaki selepas itu menafikannya. Malah mereka mendedahkan bahawa pasukan itu diberi penghormatan sekembalinya ke Pyongyang.

Apapun kisah selepas itu, Korea Utara pernah menjadi sebuah pasukan yang digemari ramai.

Sumber:

1. JON CARTER, ESPN FC (2017): Chollima upset Italy; http://www.espnfc.com/story/1124000/rewind-to-1966-north-korea-upset-italy

2. Louis Taylor, The Guardian (2017): How little stars from North Korea were taken to Middlesbrough’s heart; https://www.theguardian.com/football/2010/jun/08/north-korea-world-cup-middlesbrough

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN