Mexico meneruskan rentak cemerlang selepas berjaya menundukkan Korea Selatan 2-1 dalam saingan kumpulan F pada perlawanan yang berlangsung di Rostov Arena, sebentar tadi.
Corak perlawanan pantas disajikan oleh kedua-dua pasukan di babak pertama walaupun aksi pada 10 minit awal tidak begitu menghiburkan.
Mexico kelihatan lebih selesa menguasai permainan tetapi Korea Selatan turut berupaya mencipta beberapa ancaman ke kubu skuad El Tri.
Son Heung-Min mempunyai dua peluang terbaik bagi merobek gawang Mexico yang dikawal Guillermo Ochoa.
Selepas mendapat hantaran jauh menarik dari kawasan tengah, Son meluru pantas untuk meledakkan rembatan, namun pemain pertahanan Mexico berjaya menghalang dua percubaan berturut-turut yang dilakukan pemain Tottenham Hotspur tersebut.
Kemudiannya, Ki Seung-Yeung pula menguji gawang Mexico dengan tandukan hasil sepakan penjuru yang dinafikan Ochoa.
Korea terus dipalit kekecewaan seperti perlawanan pertama apabila terus menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan.
Hantaran lintang yang cuba dilakukan Andres Guardado terkena tangan pemain pertahanan, Jang Hyun Soo untuk menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke-24.
Carlos Vela yang diberikan tanggungjawab mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang untuk mencipta jaringan pendahuluan buat skuad Amerika Utara itu pada minit ke-26.
Mexico terus menekan kubu Korea Selatan berselang dua minit kemudian menerusi rembatan dari luar kotak penalti yang dihasilkan Miguel Layun.
Penjaga gol Korea Selatan, Cho Hyun-Woo bagaimanapun lebih bersedia untuk menangkis asakan dari luar kotak penalti oleh pemain berusia 29 tahun itu.
Son Heung-Min turut memperoleh satu lagi peluang untuk menjaringkan gol tetapi Ochoa masih lagi cemerlang untuk menyelamatkan gawangnya.
Korea Selatan bermula dengan baik apabila memulakan aksi babak kedua dengan penguasaan bola yang lebih memihak buat skuad bimbingan Shin Tae-Yong itu.
Gerakan yang dicipta bagi memburu jaringan penyamaan masih lagi menemui jalan buntu akibat ketumpulan penyudah.
Guardado hampir meletakkan Mexico selesa di hadapan setelah beliau berjaya melepasi kawalan tiga orang pertahanan Korea lalu meledakkan rembatan yang berjaya ditepis keluar Hyun-Woo pada minit ke-58.
Javier Hernandez terus menggembirakan kem Mexico selepas berjaya menghasilkan jaringan kedua pada minit ke-66.
Gol tersebut berpunca daripada serangan balas pantas yang dimulakan oleh Hirving Lozano bagi mencari Hernandez yang tidak dikawal.
Hernandez menggunakan pengalaman yang dimilikinya untuk menyempurnakan peluang tersebut bagi melebarkan kedudukan.
Korea Selatan berjaya merapatkan jurang pada masa kecederaan setelah Son Heung-Min meledakkan satu rembatan cantik dari luar kotak penalti yang akhirnya membolosi kawalan Ochoa.
Jaringan menarik itu tidak cukup untuk menghalang kemenangan kedua berturut-turut buat Mexico serta semakin hampir untuk menghantar Korea Selatan pulang awal.