Pernahkah anda banyak terfikir tentang sejarah kontrak pemain bola sepak.
Pada hari ini, kadar purata gaji seorang pemain EPL adalah pada paras £44,000 seminggu. Lantas ada penganalisis berpendapat, pemain yang berpendapatan £1 juta seminggu semakin hampir.
Ia adalah berkait rapat dengan pemberian kontrak kepada seseorang pemain. Jadi, apa itu kontrak dalam bola sepak?
Sejarah Kontrak Dalam Bola Sepak
Mark Lawrenson berkata:
“Dahulu kontrak pemain hanya dalam 4 atau 5 helaian kertas. Namun pada hari ini ia adalah satu buku novel”
Ramai yang percaya kontrak dalam bola sepak dapat dikesan seawal tahun 1863 di Tudor. Ini apabila pelajar Universiti Cambridge memperkenalkan peraturan kontrak dalam pasukan ragbi.
Pada tahun yang sama, Persatuan Bola Sepak Inggeris (FA Inggeris) telah ditubuhkan, konsep ‘profesionalisme’ pertama kali diwujudkan dan ia dilindungi oleh undang-undang.
Ini membolehkan pemain bola sepak mendapatkan lebih banyak wang untuk bermain peringkat tertinggi. Enam tahun kemudian, had gaji minimum adalah pada paras £4 seminggu diperkenalkan.
Permintaan gaji oleh para pemain semakin meningkat. 50 tahun kemudian berlaku peningkatan tiga kali ganda dalam gaji pemain. Pemain berpendapatan £12 seminggu wujud pertama kali pada musim 1947.
Maka wujudlah istilah terlebih bayaran atau overpaiddek kerana gaji £12 seminggu tersebut.
Pemain Fulham yang juga Pengerusi Kesatuan Pemain (PFA) ketika itu, Jimmy Hills telah memperjuangkan kenaikan gaji pada pemain kerana kuasa komersial ke atas imej pemain semakin kuat.
Hills berkempen untuk memansuhkan gaji minimum £20 seminggu pada tahun 1961. Ia tercatat dalam salah satu kejayaan terbesar dalam sejarah PFA.
Pemain 3 Angka Pertama
Bola sepak Inggeris dikejutkan dengan bayaran 3 angka seminggu yang pertama untuk pemain bola sepak milik penyerang Scotland, Johnny Haynes.
Haynes menerima £100 seminggu dan ia dianggap kejayaan penting bagi Kesatuan Pemain walaupun ramai tidak menyenanginya kerana hanya dengan bermain bola sepak anda boleh mendapat £100 seminggu.
Baru-baru ini, Manchester United telah mengumukan kontrak baru untuk pemain remaja Marcus Rashford yang dilaporkan bernilai £20,000 seminggu.
Kira-kira 22 tahun yang lalu, bintang sensasi Chris Sutton telah menandatangani kontrak lumayan £10,000 seminggu di Blackburn Rovers pada 1994.
Kenaikan Mendadak Kepada 6 Angka
Pada tahun berikutnya, 1995 adalah tahun pengenalan kepada peraturan Bosman yang membolehkan pemain yang tamat kontrak berhak untuk mendapatkan perpindahan percuma tanpa melalui kelab semasa.
Selepas itu, berlaku gelombang lebih besar dalam gaji pemain. Pada November 2016, Wayne Rooney dan Lionel Messi menerima bayaran £300,000 seminggu.
Pada hari ini terlalu ramai bintang bola sepak yang menerima gaji lebih daripada £100,00 seminggu. Betapa drastiknya perubahan dalam gaji pemain.
Komponen Kontrak Pemain Bola Sepak
Apabila seorang pemain menurunkan tandatangan ke atas kertas kontrak, ini bermakna mereka sudah bercakap dengan kelab yang sedia ada ataupun kelab baru di sebuah kelab.
Ada beberapa perkara biasa yang biasanya dibincangkan. Matthew Buck daripada PFA menjelaskan bahawa kontrak pemain bola sepak umumnya akan mengandungi:
1. Gaji pokok
Gaji asas pemain tanpa melibatkan bonus ataupun bayaran tambahan.
2. Bayaran ketika menandatangani kontrak (signing on fees)
Bayaran kepada pemain dan biasanya ejen sebaik sahaja pemain menurunkan tanda tangan pada kertas kontrak baru. Ejen dibayar kerana menjadi perantara dalam perbincangan kontrak.
3. Bonus kesetiaan
Sejumlah wang yang dibayar selepas pemain menamatkan tempoh kontrak mereka secara bersih.
4. Bayaran berdasarkan objektif tertentu ataupun berdasarkan jumlah penampilan
Imbuhan tambahan seperti berapa sasaran gol untuk pemain tersebut. Ada juga yang dibayar untuk setiap gol dan assist. Bonus penampilan biasanya untuk pemain yang dikhuatiri tidak mampu bermain lebih kerap.
Ada juga bayaran bonus berdasarkan disiplin dan banyak lagi.
5. Sub-perjanjian untuk hak imej
Membolehkan kelab menggunakan pemain untuk publisiti kelab. Imej merangkumi rupa, suara dan lain-lain.
6. Klausa tambahan lain yang boleh jadi diminta oleh kelab atau pihak pemain
Klausa khas atas persetujuan bersama.
Kuasa Ejen Dan Kuasa Pemain vs. Kelab
Ejen dalam bola sepak digambarkan sebagai opportunist dan kerap menipu demi kepentingan peribadi. Namun begitu mereka adalah komponen terpenting dalam perihal kontrak pemain.
Sebab itu wujud terma bayaran perkhidmatan ejen. Mereka boleh menjadi talian bantuan, dan pada masa yang sama boleh menjadi batu api.
Misalnya, Aitor Karanka mengakui Jorge Mendez banyak membantu beliau dalam memujuk pemain di bawah naungan agensi beliau untuk menyertai Middlesbrough musim ini.
Manakala, Pep Guardiola pula menuduh ejen Yaya Toure mengeruhkan lagi keadaan dalam isu pemain tersebut kerana panik dengan nilai pasaran pemain tersebut yang menurun.
Ejen biasanya akan cepat memberikan tekanan kepada pengurusan kelab supaya menaikkan gaji apabila ada pemain mereka yang beraksi cemerlang.
Carlos Tevez selepas beraksi cemerlang bersama Manchester City hampir membuat perpindahan ke Bayern Munich. Ejen beliau meminta £400,00 seminggu namun perjanjian tidak dipersetujui oleh Tevez dipercayai kerana terlalu banyak klausa dalam kontrak.
Ejen akan cuba mempengaruhi pemain untuk pergi ke kelab yang menawarkan mereka gaji lebih lumayan sekiranya kelab sedia ada enggan berbuat demikian atau menawarkan gaji lebih rendah.
Walaupun banyak kontrak yang melibatkan pemain berbakat mencecah 4 atau 5 tahun, sebaliknya hampir setiap tahun atau 2 tahun sekali mereka akan mendesak kelab untuk mengubah beberapa klausa pada kontrak semasa pemain, terutamanya kenaikan gaji.
Ejen secara tidak langsung memberikan kuasa lebih tinggi kepada pemain yang digelar bintang. Jadi istilah no player bigger than a club turut dicabar pada hari ini. Dalam erti kata lain, kuasa pemain lebih kuat.
Perkara 17 Peraturan Perpindahan Pemain oleh FIFA menjelaskan:
Pemain dibenarkan untuk membatalkan kontrak mereka dengan kelab mereka.
Peraturan ini akan aktif selepas tiga tahun (jika berusia di bawah 28-tahun) atau dua tahun (jika berusia lebih 28 tahun), dengan syarat kelab itu menerima pampasan yang mencukupi daripada pemain tersebut.
Peraturan ini berkuatkuasa pada Julai 2015 dan pemain Hearts, Andy Webster yang merupakan orang pertama untuk mengambil kesempatan daripada undang-undang baru ini.
Andy meminta perlepasan dari Hearts ke Wigan Athletic pada Ogos 2006. Maka wujudlah istilah ‘transfer request atau permohonan perpindahan oleh pemain.
Kelab baru yang inginkan khidmat mereka biasanya sedia untuk membayar pampasan atau klausa khas jika kelab semasa mereka menerima permohonan perpindahan itu.
Kelemahan Dan Klausa Pelik
Beberapa isi dalam kontrak pemain ada kelemahannya. Ini kerana pemain terpaksa terikat kepada klausa tertentu dan ada di antaranya adalah pelik.
Sebagai contoh, bek Liverpool, Stig Inge Bjornebye sangat suka bermain ski-jumping. Mendengar hobi beliau ini, Liverpool telah memasukkan klausa khas dalam kontrak beliau yang melarang beliau tidak boleh bermain ski yang melebihi ketinggian 200 ela.
Ini kerana, pihak kelab khuatir beliau akan tercedera teruk kerana perkara selain bola sepak.
Paul Gascoigne pernah menuntut supaya penginapan beliau hendaklah sentiasa berhampiran tasik memancing sebagaimana yang telah dipersetujui oleh kelab dalam kontrak beliau.
Tottenham Hotspurs dikatakan pernah memasukkan klausa khas supaya Robbie Keane tidak meraikan gol dengan cara cartwheel and forward roll kerana mereka mendapati ia salah satu sebab kenapa Keane boleh tercedera.
Namun Keane tetap meraikan gol ke-100 beliau dengan cara tersebut.
Crystal Palace dikatakan ada menyelitkan klausa untuk memotong gaji bagi pemain yang lebih berat badan.
Ingat lagi peristiwa ketika Arsenal cuba membayar klausa perlepasan Luis Suarez dengan tambahan £1 dahulu? Ia antara beberapa usaha untuk memanipulasi klausa.
Baca juga : Impak Brexit; Sanchez & Ozil Dilapor Mahukan Bayaran Jauh Lebih Tinggi Untuk Kontrak Baru