Konsistensi Shahrel Fikri Mampu Tarik Perhatian Kem Harimau Malaya

Penyerang PDRM musim ini, Shahrel Fikri terus mempamerkan konsistensi cukup tinggi buat pasukan tersebut menerusi sentuhan berbisanya untuk mengukuhkan jentera serangan pasukan tersebut di pentas Liga Malaysia (Liga M).

Tatkala nama beliau dianggap kian samar-samar dalam kalangan peminat, Shahrel nampaknya masih mampu untuk membuktikan ketajamannya di saingan Liga Super musim 2024/2025.

Terbaharu, Shahrel berjaya memacu The Cops untuk meraih kemenangan berharga 2-1 mengatasi Negeri Sembilan di gelanggang lawan iaitu Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi.

Apa tidaknya, bekas pemain Malaysia ini berjaya mencetuskan siri kebangkitan buat PDRM yang sebelum itu ketinggalan 0-1 kepada tuan rumah melalui ledakan R. Barathkumar di separuh masa pertama.

Shahrel hadir dengan jaringan penyamaan di separuh masa kedua untuk menaikkan moral PDRM sebelum penyerang import kacukan Brazil-Jepun iaitu Bruno Suzuki memastikan kemenangan berpihak buat mereka.

Momentum Shahrel jelas berada pada tahap terbaik apabila ini merupakan jaringan kedua berturut-turut dihasilkan pemain itu bagi saingan Liga Super bersama The Cops.

Musim ini sahaja menyaksikan Shahrel sudah pun diberi peluang beraksi sebanyak enam perlawanan bawah kendalian P. Maniam serta lebih banyak berperanan selaku pemain sayap.

Kelebihan Shahrel daripada segi larian pantas, kualiti kawalan bola, serta ketajaman jelas digunakan dengan sangat baik sehingga kini untuk terus mendapat kepercayaan jurulatih tersebut.

Jika konsistensi tersebut terus dikekalkan, maka bukan sesuatu yang menghairankan jika nama beliau kembali mendapat kepercayaan para jurulatih Harimau Malaya untuk kembali menyertai kem kebangsaan.

Kali terakhir Shahrel beraksi buat skuad kebangsaan pada 20 Jun tahun lalu ketika aksi persahabatan membabitkan Malaysia menentang Papua New Guinea yang menyaksikan pasukan negara meraih kemenangan besar 10-0.

Manakala kali terakhir pemain berusia 29 tahun itu meledak gol buat skuad kebangsaan pula pada tahun 2019 dengan Shahrel meledak hatrik sewaktu bertemu Timor Leste.

Ketika ini, Shahrel perlu memastikan momentum beliau selaku pemain serangan PDRM terus kekal positif dan nama beliau berkemungkinan bakal dipanggil Pau Marti Vicente untuk mengharungi kejohanan Pestabola Merdeka atau saingan Piala AFF.

Pandangan anda, adakah Shahrel masih mampu untuk kekal bersinar di pentas antarabangsa jika dirinya mendapat kepercayaan Pau Marti pada masa akan datang?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN