Bekas pemain PJ City, R. Kogileswaran kini semakin hampir untuk mendapatkan tempatnya dalam saingan utama Asia.
Menurut pelbagai laporan, Kogi dikatakan bakal menyertai sebuah kelab di Korea Selatan yang beraksi di divisyen dua negara tersebut.
Menurut Flash Sukan, Kogi yang pernah menyarung jersi skuad kebangsaan sebelum ini dikatakan dilamar oleh kelab Chungbuk Cheongju yang beraksi dalam saingan K-League 2.
Perpindahan yang bakal berlaku itu bakal menyaksikan Kogi akan mengikat kontrak selama setahun dengan kelab tersebut dengan tiada sebarang butiran mengenai pilihan untuk melanjutkan kontrak dinyatakan.
Perpindahan tersebut turut dikatakan memperoleh restu oleh Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin yang memberikan dorongan penuh kepada Kogi untuk berhijrah.
Siapakah Chungbuk Cheongju?
Perpindahan ini pastinya akan membuka minat yang lebih meluas mengenai pemain negara di peringkat Asia selepas ini.
Tetapi siapakah Chungbuk Cheongju ini? Jika dirisik pada maklumatnya, kelab yang beraksi di saingan divisyen dua Korea Selatan ini adalah sebuah pasukan yang berpengkalan di Cheongju-si.
Kelab ini berpengkalan di bandar terbesar di daerah Cheongju Utara, Korea Selatan dan merupakan sebuah pasukan yang dianggap sebagai ‘muka tetap’ saingan bawahan negara itu.
Untuk rekod, Cheongju tidak pernah beraksi dalam saingan utama Korea Selatan sejak ditubuhkan pada 2002.
Ketika ini, Cheongju berada di Thailand untuk latihan pra-musim mereka dan Kogi dijangka akan menyertai mereka di sana sebelum ikut pulang ke Korea Selatan.
Diharap dengan perpindahan ini akan membuka jalan yang lebih luas buat pemain Malaysia menimba pengalaman di liga utama Asia seperti Korea Selatan.
Semoga berjaya kami ucapkan kepada Kogileswaran!