Quantcast

BERITA

Kobe Jae Chong Akan Sertai Skuad Harimau Malaya Dalam Masa Terdekat?

Bukan rahsia lagi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sedang berusaha untuk melakukan proses naturalisasi terhadap dua pemain kacukan berdarah Malaysia yang sedang berpengkalan di Eropah untuk menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada masa hadapan.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini melalui BERNAMA.


Dua pemain tersebut, salah seorang berusia 21 tahun dan kini sedang beraksi di Jerman. Manakala seorang lagi berusia 18 tahun dan beraksi di England. Kedua-dua pemain serius untuk dipertimbangkan oleh FAM dalam usaha memperkuatkan skuad Harimau Malaya.

Walaupun tidak mendedahkan butiran mengenai kedua-dua pemain tersebut, ramai penyokong pasukan kebangsaan mula melakukan andaian mengenai identiti kedua-dua pemain tersebut.

Baru-baru ini melalui satu muat naik di Instagram Story, Kobe Jae Chong – salah seorang dari dua pemain tersebut – memberi bayangan akan beraksi bersama pasukan negara dalam masa terdekat.

Gambar Kobe sedang mengikat kasut di padang beserta caption “Join Malaysia squad!! I will soon.”  membuatkan ramai tertanya-tanya adakah Kobe merupakan salah seorang pemain kacukan yang dimaksudkan.

Insta Story yang sama turut dikongsikan oleh sebuah akaun twitter @harimau_abroad.

Gambar di Insta Story tersebut seolah-olah menjawab persoalan peminat mengenai hala tuju dan masa depan pemain itu yang ditanyakan di platform media sosial yang sama.

Beliau adalah seorang pemain tengah menyerang, dan juga berpotensi untuk bermain sebagai No.10 dalam pasukan negara – posisi dimana pasukan negara kerap kali ketandusan bakat yang sesuai.

Kobe Jae Chong adalah pemain berdarah kacukan Malaysia dan Jamaica, pernah beraksi untuk skuad remaja Caglairi di Itali. Pemain ini turut pernah melakukan pertemuan dengan wakil dari FAM sebelum ini yang berlangsung di England.

Malaysia akan meneruskan aksi di pentas antarabangsa pada September hadapan di pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia. Lawan Malaysia pula hanya akan diketahui pada minggu hadapan selepas undian dijalankan. Adakah kira akan menyaksikan kelibat Kobe Chong seawal September hadapan?