Pengendali Liverpool, Jürgen Klopp mengakui beliau terpaksa mengeluarkan Sadio Mane ketika perlawanan menentang Atletico Madrid dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada awal pagi tadi kerana enggan pemain itu dilayangkan kad merah.
Klopp berpendapat pemain itu menjadi sasaran pemain-pemain Atletico agar dilayangkan kad merah selepas terlebih dahulu Mane telah dilayangkan kad kuning dalam perlawanan tersebut.
Mane dikeluarkan pada waktu rehat babak pertama selepas menerima kad kuning akibat kekasaran ke atas Sime Vrsaljko pada lewat babak pertama.
Beberapa pemain Atletico kemudiannya mengelilingi pengadil meminta agar Mane dilayang kad kuning kedua tidak lama selepas itu.
Klopp mengesahkan langkah mengeluarkan pemain Senegal itu untuk digantikan oleh Divock Origi adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk tidak beraksi dengan 10 pemain.
“Ia adalah perkara jelas dalam bola sepak yang saya tidak suka. Rancangan mereka [Atletico] pada malam ini ialah untuk Mane diberikan kad kuning kedua,” kata Klopp.
“Saya risau pemain lawan mengambil kesempatan ke atas Mane. Saya tidak mahukan situasi sebegini, dan kemudian terpaksa mengeluarkan beliau.”
Ketiadaan Mane jelas dirasai selepas itu oleh Liverpool apabila gagal menghasilkan sebarang percubaan tepat sepanjang tempoh 90 minit perlawanan.
Keadaan semakin parah buat Liverpool selepas Jordan Henderson turut terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan harmstring.
Dalam perlawanan pertama pusingan kalah mati ini, gol tunggal Saul Niguez pada awal permainan cukup untuk memberikan kelebihan tipis kepada anak buah Diego Simone sebelum ke Anfield selepas ini.