Liverpool menerima pujian menggunung daripada penyokong mereka apabila mempamerkan persembahan memukau menewaskan Manchester City 3-0 dalam suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Stadium Anfield.
Namun begitu, pengurus The Reds, Jurgen Klopp berikrar tidak akan berparti dan sedia ‘main bermati-matian’ bagi menyempurnakan tugas di suku akhir kedua.
Tiga gol yang diledakkan dalam tempoh 19 minit pada babak pertama menghadiahkan Liverpool kemenangan selesa dan memberi kelebihan buat Reds mengawal situasi menjelang suku akhir kedua, minggu depan.
Keputusan itu ternyata mengejutkan ramai pihak, tidak terkecuali pengurus Liverpool sendiri, Klopp yang melabelkan City sebagai pasukan terbaik di dunia. Gol daripada babak pertama menerusi Mohamed Salah, Alex Oxlade-Chamberlain dan Sadio Mane telah menjadikan pertemuan itu antara aksi terbaik Reds di pentas Eropah.
“Jika saya menjawab soalan seperti mana yang anda mahukan, Pep (Guardiola) hanya perlu meletakkan akhbar di dalam bilik persalinan dan berkata ‘Lihat apa yang Klopp telah katakan!’ Kami perlu main bermatian-matian. Kami belum layak ke peringkat seterusnya. Mengapa pula saya perlu meraikannya?
“Perlawanan ini amat bagus. Corak permainan yang berbeza dalam kedua-dua babak. Pada separuh masa pertama kami sangat aktif, bijak memanfaatkan ruang, berjaya menutup jurang permainan. Kami memanfaat peluang sebaik mungkin dan menjaringkan tiga gol hebat. Tetapi masih ada yang perlu diperbaiki,” kata Klopp.
Salah yang menjaringkan gol pembukaan yang merupakan gol ke-38 musim ini, bagaimanapun terpaksa dibawa keluar kerana masalah pangkal paha. Klopp berkata, masalah itu tidak serius dan dia perlu meneliti kembali situasi Salah untuk aksi timbal balik kedua di Etihad.
Kapten Liverpool, Jordan Henderson tidak dapat diturunkan bagi pertemuan itu kerana mengutip kad kuning di lewat aksi.
“Sejak saya berada di sini, setiap berita baik pasti terselit khabar kurang gembira. Mo terpaksa dibawa keluar setelah mengadu dia berasakan sesuatu. Itu sudah memadai, tidak perlu saya bertanya doktor. Selepas perlawanan saya bertanya kepadanya dan berkata, dia berada dalam keadaan baik, tetapi diagnosis daripada doktor masih diperlukan,” ujar Klopp.
Sementara itu, bas City mengalami kerosakan sebelum perlawanan bermula, ekoran sikap buruk segelintir penyokong Liverpool, tetapi Guardiola menegaskan, insiden mengejutkan itu tiada kena mengena dengan keputusan perlawanan dan berkata, peluang skuad bimbingannya masih terbuka untuk mara ke peringkat empat terbaik.
“Keputusan perlawanan memang sukar, tetapi kami masih belum tersingkir. Saya yakin dengan pasukan saya, mereka telah membuktikan banyak perkara baik musim ini. Kami masih ada 90 minit. Kami akan terus mencuba,” kata Guardiola.