Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp memuji prestasi cemerlang pemainnya iaitu Mohamed Salah yang dianggap sebagai “terbaik di dunia ketika ini”.
Salah yang melakukan satu bantuan jaringan serta menyumbat gol cantik ketika kemenangan 5-0 Liverpool ke atas Watford kini jelas sekali berada pada puncak prestasinya.
EPL: Gol Kelas Dunia Salah, Hatrik Firmino Hantar Liverpool Ke Puncak Liga
Malah, pada hemat Klopp Salah dianggap lebih baik berbanding Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo ketika ini.
Bukan mereka, tetapi dia.
Walaupun dunia bola sepak moden sering terikat dengan pemikiran yang Messi dan Ronaldo adalah yang terbaik, tetapi buat masa ini Salah adalah yang paling hebat.
“Siapa yang ketika ini lebih baik berbanding beliau?”
“Kita tidak perlu berkata mengenai Messi dan Ronaldo serta apa sumbangan mereka dalam mendominasi dunia bola sepak, tetapi ketika ini, beliau [Salah] adalah yang terbaik.”
Jaringan hatrik yang disumbangkan oleh Roberto Firmino jelas sekali dibayangi oleh prestasi hebat Salah yang mencipta bantuan jaringan yang cemerlang untuk gol Sadio Mane.
Ianya kemudian ditambah dengan gol gerakan menarik Salah yang mirip jaringannya ketika menentang Manchester City sebelum rehat bola sepak antarabangsa.
“Persembahan beliau memang cemerlang. Hantaran untuk jaringan pertama memang hebat dan gol kedua [keempat] itu memang istimewa,” kata Klopp menerusi The Guardian.
Gol Salah semalam mengikat beliau dengan pemain Leicester City, Jamie Vardy sebagai pendahulu penjaring terbanyak liga dengan tujuh gol.
Lebih menarik, Mane turut menyumbang gol ke-100 beliau dalam Premier League.
Gabungan Mane-Salah-Firmino semalam mencipta nostalgia mereka sendiri apabila ketiga-tiga pemain berada dalam senarai penjaring.
Kemenangan 5-0 Liverpool itu membawa mereka ke puncak liga untuk sementara waktu sebelum dipintas Chelsea yang menewaskan Brentford dalam aksi lewat semalam.
Aksi Liverpool yang seterusnya adalah menentang Manchester United di Old Trafford pada 24 Oktober 2021.