Tanyalah kepada mana-mana penyokong Liverpool. Apakah perasaan mereka pada hari pertama bekerja pada Isnin setelah sehari sebelumnya menyaksikan pasukan kesayangan mereka tewas di pentas akhir UEFA Champions League (UCL).
Reaksinya mungkin pelbagai. Ada yang mungkin menyalahkan penjaga gol Loris Karius kerana dua kesilapan yang memberi gol mudah untuk Karim Benzema dan Gareth Bale.
Tidak kurang juga yang menyalahkan pertahanan tengah Real Madrid, Sergio Ramos yang dipersalahkan kerana menjadi penyebab kecederaan ayam tambatan Liverpool, Mohamed Salah.
Penyerang sayap antarabangsa Mesir itu terpaksa dikeluarkan, dan digantikan dengan Adam Lallana setelah disahkan mengalami kecederaan dislokasi bahu.
Kemudiannya, penyokong-penyokong Liverpool turut harus berhadapan dengan rakan sekerja, sekuliah atau pun rakan di alam maya. Ada di kalangan lawan yang bersimpati, tidak kurang juga yang gemar mengusik.
Sesungguhnya kekalahan itu perit. Apatah lagi di perlawanan akhir peringkat tertinggi di Eropah.
Isnin sesungguhnya sudah berlalu. Kami pasti, sedikit-sebanyak kesedihan dan keperitan kekalahan awal pagi Ahad lalu sudah beransur-ansur surut.
Tetapi jika kekecewaan dan keperitan itu masih belum berkurangan, mungkin penyokong Liverpool khususnya yang membaca artikel ini boleh belajar sesuatu daripada pengurus pasukan, Jurgen Klopp.
Tidak mahu sekadar duduk kecewa mengenang kekalahan kepada Real Madrid, Klopp memilih untuk menyertai sekumpulan penyokong Liverpool untuk menyanyi.
Menariknya, nanyian tersebut adalah mengenai kekalahan Liverpool di perlawanan akhir UCL.
Sebuah video telah menjadi tular yang menampilkan pengurus Liverpool itu bersama-sama dengan pembantu beliau, Peter Krawitz, penyanyi kumpulan rock popular Jerman Die Toten Hosen, Campino (baju Liverpool), dan seorang wartawan Jerman, Johanes B. Kerner sama-sama bernyanyi kegirangan.
Video tersebut dipercayai dirakam pada awal pagi Ahad sebelum Klopp dan keseluruhan skuad Liverpool dijadualkan terbang dari Kiev.
Campino dilihat mempunyai medal naib juara UCL di lehernya (dipercayai milik Klopp), sambil Klopp memegang foto pemain tengah yang sedang mengalami kecederaan, Alex Oxlade-Chamberlain.
Nyanyian keempat-empat mereka adalah berdasarkan irama sebuah ‘chant’ popular di kalangan peminat Bundesliga dengan lirik:
“We saw the European Cup
Madrid had all the f—— luck
We’ll just keep on being cool
And bring it back to Liverpool!”
Kepada penyokong Liverpool yang masih kecewa dengan kekalahan kepada Real Madrid, ayuh ceriakan hari anda seperti Jurgen Klopp!
Saksikan video tersebut melalui pautan di bawah.
Jurgen Klopp at 6am this morning. What a man. ? pic.twitter.com/lrm22OVzRr
— Oliver Bond (@Oliver__Bond) May 27, 2018