Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp telah menandatangani kontrak baharu dengan juara Eropah itu yang menyaksikan beliau akan kekal di Anfield sehingga 2024.
Liverpool yang mendapatkan khidmat Klopp pada Oktober 2015 telah menunjukkan peningkatan dari musim ke musim dan menyaksikan mereka menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di tempat kedua pada musim lepas.
Musim ini pasukan itu kekal konsisten mencatatkan kemenangan dan kini selesa mendahului carta liga dengan kelebihan lapan mata sekaligus mencerahkan peluang mereka untuk merangkul kejuaraan EPL buat kali pertama sejak diperkenalkan pada 1990.
It's been a special 2019…roll on 2020 and beyond! 🙌 pic.twitter.com/fKhkJuohFH
— Liverpool FC (@LFC) December 13, 2019
“Kelab ini adalah tempat yang sangat baik. Saya tidak pernah terfikir untuk tinggalkan tempat ini.
“Apabila saya menerima panggilan untuk menyertai pasukan ini pada 2015, saya merasakan kami amat sesuai untuk melengkapi antara satu sama lain.” kata Klopp kepada laman web Liverpool.
Pembantu Klopp, Peter Krawietz dan Pepijn Ljinders turut diberikan kontrak baharu bersama kelab tersebut.
Dalam masa yang sama, Liverpool turut memanjangkan khidmat James Milner dan mengikat pemain senior itu sehingga 2022.
Pemain berusia 33 tahun itu menyertai The Reds secara percuma dari Manchester City pada Jun 2015 dan mengikut kontrak asal, beliau akan melalui musim terakhir bersama Liverpool pada musim ini.
Milner tenyata menjadi watak penting buat Liverpool dalam tempoh beberapa tahun ini termasuk membantu Liverpool menjuarai UCL dan turut memenangan UEFA Super Cup pada bulan Ogos lalu.
“Kontrak baharu ini ternyata bersesuaian dengan saya yang mahu terus kekal bermain di tahap tertinggi selama mana yang saya mampu,” kata Milner.
“Perjalanan masih jauh dan kami akan terus berusaha untuk menjadi lebih baik dan memberikan lebih banyak kejayaan untuk kelab ini.”
💪 MILLY 💪 pic.twitter.com/9jqqjwJu5J
— Liverpool FC (@LFC) December 13, 2019
The Reds akan menerima kunjungan Watford pada malam ini sebelum bertolak ke Qatar untuk beraksi di saingan Piala Kelab Dunia FIFA.