Jurgen Klopp tidak pernah takut untuk melakukan eksperimen terhadap pemain di bawah kendaliannya.
James Milner misalnya pernah beraksi sebagai bek kiri selama semusim selepas perbincangan dengan Klopp ketika pra musim yang lalu.
Kemudian Trent Alexander-Arnold – asalnya adalah seorang pemain tengah – diyakinkan oleh Klopp untuk beraksi di posisi bek kanan, kini dianggap sebagai salah seorang pemain terbaik di posisi tersebut.
Begitu juga dengan Roberto Firmino yang pada mulanya tidak memiliki peranan jelas di unit serangan, sehingga pada hari ini dianggap salah seorang pemain No.9 jadian terbaik yang pernah disaksikan.
Musim panas ini Klopp tidak teragak-agak untuk melakukan satu lagi eksperimen dengan menjadikan Adam Lallana beraksi di bahagian tengah sebagai seorang pemain tengah – atau lebih tepat peranan deep-lying playmaker – posisi dan peranan yang dimainkan oleh Jorginho bersama Napoli dan kini bersama Chelsea.
Bercakap mengenai usahanya itu, Klopp berkata:
“Adam [Lallana] adalah pemain yang boleh beraksi dan gemarkan ‘peranan Jorginho’. Saya berharap Maurizio Sarri tidak menyaksikan perlawanan ini, atau dia akan membida [Lallana],” ujar Klopp selepas menyaksikan pasukannya menewaskan Bradford City 3-1 dalam aksi pra musim.
“Ia [perlawanan] adalah untuk memberikan Adam rentak. Adam beraksi dari mula untuk membenarkan beliau melakukan apa yang beliau tahu lakukan: beraksi di ruang kecil, melakukan hantaran, dan dari masa ke semasa akan mula melakukan larian dari belakang. Bersama dengan Milner, ia adalah satu lagi pilihan [dalam permainan].
“Adam memerlukan sedikit nasib, sepertimana setiap dari kita disini perlukan. Kami perlu mengelak kecederaam, ia sudah pasti bagus, dan akan ada beberapa wajah bahari juga pada musim ini.”
Dalam perlawanan menentang Bradford City, dua gol oleh James Milner – termasuk satu penalti – dan tandukan pemain muda England, Rhian Brewster memberikan kemenangan 3-1 kepada anak buah Jurgen Klopp.