Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur, Nokman Mustaffa berkata persatuan itu kecewa dengan dakwaan beberapa pihak yang mengatakan mereka tidak tahu menjaga kebajikan pemain – setelah tidak menawarkan kontrak dengan gaji baharu kepada bek kiri, Syazwan Andik.
Syazwan Andik merupakan pemain pilihan pertama jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe di kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 yang lalu.
Malah penampilan pemain itu mendapat pujian ramai pemerhati bola sepak tanah air, selepas aksi konsisten beliau sepanjang kejohanan.
Tidak perlu tawar kontrak
Bercakap kepada Sukan Sinar, Nokman bekata KLFA tidak perlu menawarkan sebarang kontrak baharu kepada Syazwan kerana pemain itu sememangnya memiliki kontrak sehingga tamat saingan Liga Malaysia 2019.
“Kita dah ikat Syazwan dua tahun [sehingga penghujung 2019], jadi kita tetap berpegang pada kontrak itu. Kita tidak akan tawarkan kontrak baharu kerana dia sendiri tidak cakap apa-apa.
Nokman turut mengesahkan perkara tersebut sudah dimaklumkan kepada Syazwan sebelum ini, dan hairan mengapa perlu perkara ini dibangkitkan semula kini.
“Lagi pun kalau betul dia mahukan tawaran baharu kenapa dia tidak datang berbincang dengan kami? Hari ini [semalam] pun dia kata nak jumpa, tetapi sampai sekarang senyap,” ujar Nokman kepada wartawan Sukan Sinar.
Diintai dua pasukan
Bukan perkara yang boleh disembunyikan lagi, Syazwan sebelum ini dikatakan telah membuka pintu perbincangan dengan FA Selangor (FAS)
Namun menurut Setiausaha Agung FAS, Dr. Johan Kamal Hamidon seperti yang dilaporkan oleh Stadium Astro, pihak mereka terpaksa melupakan hasrat berbuat demikian setelah mengetahui Syazwan masih memiliki baki kontrak setahun – dan mengetahui nilai yang ditetapkan oleh KLFA untuk mendapatkan khidmat pemain kebangsaan itu.
Selain daripada FA Selangor, Sukan Sinar turut mendedahkan Syazwan turut didekati sebuah pasukan lain melalui pintu belakang.
Semalam Nokman mengesahkan pihak mereka di KLFA tidak mempunyai halangan untuk Syazwan berhijrah.
Namun demikian, mereka perlu membayar RM1 juta lebih untuk membenarkan beliau menyertai mana-mana pasukan lain. Menurut Nokman lagi, nilai tersebut adalah berdasarkan klausa yang terkandung di dalam kontrak milik Syazwan dengan KLFA.
Rumusan
Selagi peraturan di Liga Malaysia berkenaan perpindahan pemain tidak diperkasa, selagi itulah kita akan mendengar pelbagai cerita negatif setiap kali jendela perpindahan pemain di negara kita.
Sampai bila kita perlu berhadapan dengan isu sebegini? Benarkah kita mahu bola sepak kita profesional, beretika, atau memiliki nilai fair play?
Atau adakah semua itu sekadar laungan lagak primadona – tampak berbuat, tetapi sebenarnya tidak berbuat atau tidak berniat berbuat; berbuat seolah-olah; berlagak.