Quantcast

BERITA

KLFA Berang Dengan Tindakan MFL Potong Geran Tahunan

Semalam badan pengendali liga Malaysia iaitu Malaysia Football League (MFL) telah mengumumkan tujuh pasukan dikenakan tindakan pemotongan sebanyak 50 peratus daripada jumlah geran bagi musim 2019 di atas kegagalan mematuhi tarikh akhir pendaftaran pasukan pada 31 Disember 2018.

Lebih malang lagi, mereka turut dikenakan sekatan membeli pemain baharu ketika jendela perpindahan kedua dibuka pada 2 Mei depan.

Justeru itu, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) melabelkan hukuman yang dikenakan oleh MFL adalah sebagai tidak wajar dan menyifatkan ia merupakan satu penganiayaan terhadap pasukan.

“Ini semua kerja gila!!”

“Mana boleh suka hati ambil tindakan potong geran kerana ia jelas menganiaya pasukan malah lebih buruk lagi mereka turut sekat kami daripada beli pemain baharu.

“Ini keputusan yang tidak bagus kerana kami sedang berdepan masalah dengan pemain import,” kata Pengurus The City Boys, Mohamad Hamidi Abu Bakar seperti dipetik dalam Harian Metro.

FOTO: Kuala Lumpur FA

Pada masa yang sama, Hamidi turut mengesahkan pihaknya akan membuat rayuan kepada MFL serta telah mengupah seorang peguam untuk mendapatkan hak mereka.

“KLFA akan buat rayuan berkaitan perkara ini dan pada masa berbincang untuk mengupah peguam bagi memastikan hak kami terjamin.

“Sebelum ini, mereka (MFL) janji nak bayar duit geran pada Mac. Selepas itu tangguh dan akhirnya dipotong pula 50 peratus daripada RM3 juta yang sepatutnya kami terima.” ujarnya.

Selain Kuala Lumpur, pasukan yang turut dikenakan hukuman tersebut ialah FELDA United, Melaka, Kelantan, PDRM, Sarawak dan Pulau Pinang.

Hamidi berkata, hukuman berkenaan seolah-olah mahu menjatuhkan The City Boys yang baharu saja mendapatkan rentak kemenangan selepas mengharungi perlawanan sukar sebelum ini.

Beliau berkata, segala perancangan KLFA untuk mengambil pemain import baharu menjelang jendela perpindahan kedua pada 5 Mei depan turut terencat dengan pengumuman berkenaan.

“Pembelian pemain baharu sangat penting untuk pasukan memandangkan Kuala Lumpur sekarang ini berdepan masalah kekurangan pemain import. Kami sudah rancang untuk beli pemain namun dikenakan hukuman sekatan pula sekali gus menyebabkan pasukan tempang atau mungkin melalui keadaan yang sukar nanti,” katanya