Kuala Lumpur memaksa musuh setempat, Selangor untuk bangkit 3 kali sebelum kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan 3-3 dalam saingan unifi Liga Super 2018, malam tadi.
Selangor masih gagal menemui sentuhan kemenangan dalam aksi liga selepas kali terakhir merekodkan kemenangan pada 6 Jun lalu, menewaskan PKNS FC dengan keputusan 2-1.
Separuh masa pertama
Tuan rumah terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Zhafri Yahya di minit ke-5 selepas berjaya melepasi perangkap offside yang dipasang Selangor.
Guilherme de Paula membuat hantaran ke dalam kotak penalti yang disambut kemas oleh Zhafri sebelum berjaya menewaskan penjaga gawang tuan rumah, Khairulazhan Khalid.
Selangor menggandakan asakan namun gagal menemui jaringan penyamaan walaupun beberapa kali melakukan percubaan namun dikecewakan oleh penjaga gol, Sharbinee Allawee.
Penyerang prolifik The Red Giants, Rufino Segovia akhirnya berjaya meledakkan gol penyamaan dengan rembatan deras dari luar kotak menuju ke bahagian kiri gol pada minit ke-13.
Rufino berjaya memperdaya seorang benteng pertahanan pelawat sebelum meletakkan dirinya dalam keadaan yang selesa untuk merembat menewaskan Sharbinee.
Minit ke-19, Rufino sekali lagi berpeluang untuk menambah jaringan namun percubaannya berjaya diselamatkan dengan kemas oleh Sharbinee di gawang.
Seminit berselang, Kuala Lumpur yang berjaya menjaringkan gol pendahuluan hasil jaringan Hafiz Johar selepas kelekaan barisan pertahanan Selangor yang meninggalkan posisi.
Rufino sekali lagi berjaya meledakkan jaringan penyamaan hasil gol menerusi sepakan penalti pada minit ke-36 selepas K. Kannan dikasari oleh benteng pertahanan The Hawks.
Separuh masa kedua
Kuala Lumpur tidak menunggu lama, dua minit selepas babak kedua bersambung, pemain tengah, Paulo Josue berjaya meletakkan pasukan pelawat di depan.
Ia berpunca daripada umpanan Indra Putra Mahayuddin yang menyaksikan tiada halangan dibuat oleh benteng pertahanan Selangor dan membolehkan Josue menjaringkan gol.
Selangor kembali menyerang kubu pasukan pelawat menerusi beberapa asakan namun dikecewakan oleh kekentalan dan aksi cemerlang Sharbinee di gawang.
Minit ke-74, hasil hantaran Sean Eugene Selvaraj, Rufino berjaya melepaskan rembatan deras untuk menjaringkan gol penyamaan The Red Giants dari luar kotak penalti.
3 kali Selangor dipaksa bangkit oleh The Hawks dan jaringan ke-17 Rufino dalam saingan liga musim ini menjadi penyelamat buat skuad kendalian Nazliazmi Mohd Nasir.
Indra Putra dilayangkan kad merah kerana didapati menyiku pertahanan lawan dan walaupun terpaksa beraksi dengan kekurangan pemain, Kuala Lumpur berjaya bertahan.
Minit ke-89, pemain tengah, Evan Dimas yang berjaya menewaskan seorang pertahanan gagal menemui jaringan selepas percubaannya itu sekadar melewati palang gol.
Perlawanan tamat dengan Selangor dan Kuala Lumpur berkongsi satu mata selepas sekadar berpuas hati dengan keputusan 3-3. Keputusan yang tidak mengubah carta liga.
Selain Selangor, Kuala Lumpur juga dalam kemarau kemenangan selepas kali terakhir menang pada 9 Jun lalu menewaskan Melaka United dengan keputusan 4-2.