KL City Sebenarnya Bergelut Tanpa Akram Mahinan & Nenad Bacina?

KL City musim 2023 Akram Mahinan Nenad Bacina

Akhirnya KL City berjaya meraih tiga mata pertama musim ini selepas menundukkan Sabah biarpun tanpa pemain tengah, Akram Mahinan.

Akram dikhabarkan dibelenggu masalah kecergasan yang memaksanya berehat untuk beberapa perlawanan. Kali terakhir Akram Mahinan beraksi adalah ketika berdepan Terengganu dalam minggu ke-3 Liga Super 2023.

Biarpun diturunkan, Akram masih tidak beraksi sepenuh masa apabila hanya diturunkan paling lama selama 68 minit ketika tewas 0-3 Johor Darul Ta’zim (JDT). Dalam dua aksi lagi, beliau hanya turun selama 45 minit.

Pengendali, Bojan Hodak ada meluahkan rasa resahnya berdepan dengan masalah kecergasan dan kecederaan termasuklah ketiadaan kelibat Akram.

Untuk perlawanan kali ini, kita kehilangan Kevin [Mendoza], Akram [Mahinan], Zhafri [Yahya] dan Matko [Zirdum], itu saja. Perkara yang baik ialah Sebastian [Avanzini] kembali menyertai pasukan selepas pulih dari kecederaan,” ungkapnya sebelum mereka turun berdepan dengan Sabah tempohari.

Persiapan cukup baik jika anda mempunyai pemain-pemain yang cedera kembali menyertai pasukan tapi kita tidak ada semua itu,” tambah Bojan.

Akram antara kepingan ‘puzzle’ penting Bojan

Adakah segalanya berpunca daripada ketiadaan Akram? Seperti yang kita tahu, beliau beraksi di posisi tengah bertahan – posisi penting pasukan.

Ketiadaannya mungkin menjadi penyebab benteng lebih terdedah dengan asakan lawan. Musim lalu, beliau tampil 20 kali bersama KL City dalam saingan Liga Super, sekali di Piala FA dan empat kali di Piala Malaysia.

Di Piala AFC yang menyaksikan mereka muncul sebagai finalis sebelum tumpas kepada Al-Seeb, Akram beraksi semua perlawanan – tujuh kali.

Ketika membawa ‘The City Boys’ menjuarai saingan Piala Malaysia 2021, Akram diturunkan beraksi dalam semua perlawanan iaitu 11 perlawanan.

Itu antara bukti bahawa pemain tengah bertahan itu tonggak penting.

Akram adalah antara pemain penting buat taktikal Bojan dan KL City.

Bukan mahu menafikan sumbangan pemain lain, tetapi faktor ketiadaan keseimbangan di jentera tengah mungkin jadi punca aksi turun naik mereka.

Mungkin bukan hanya Akram yang bergelut dengan kecergasannya. Pemain terbaik mereka sebelum ini seperti Paulo Josue dan Romel Morales juga pasti berdepan masalah yang sama barangkali termasuk Kevin Mendoza.

Persediaan untuk perlawanan yang terganggu

Adakah persediaan mereka sedikit terganggu dengan faktor luar padang?

Seperti yang kita tahu, KL City bermasalah dengan padang latihan mereka. Mungkin ini menjadikan proses membuat persediaan jadi sedikit sukar.

Pada permulaan musim lalu, Semuanya BOLA ada mendedahkan tentang bagaimana KL City sendiri telah merosakkan padang Stadium KLFA, Cheras.

Bukan hanya untuk perlawanan, mereka turut telah gunakannya untuk sesi latihan waima tanpa kebenaran daripada pihak penyelenggara stadium itu.

Ini berlaku kerana padang yang disediakan untuk latihan mereka dikatakan menyebabkan pemain mengalami kecederaan dan tidak berkualiti.

Difahamkan ketika ini, mereka berpindah randah untuk sesi latihan.

Bukan hanya persediaan teknikal dan taktikal, malah mental para pemain juga sebenarnya terganggu dengan situasi yang membelenggu pasukan.

Diharapkan dengan kehadiran pemegang saham baharu, Noor Azri Noor Azerai, Presiden Rinani Group Berhad, ia akan membantu situasi mereka.

Bojan hilang ‘orang kanan’, Nenad Bacina

Mungkin satu faktor yang sukar untuk dinafikan adalah Bojan kehilangan penolong dan orang kanannya, Nenad Bacina pada musim baharu ini.

Disember 2022, beliau telah sah meninggalkan Kota Kuala Lumpur untuk berhijrah ke Arab Saudi menyertai akademi Al-Fayha FC sebagai pengarah.

Kita tahu betapa setianya beliau di belakang pengendali kelahiran Croatia itu – bersama ketika di JDT, Penang, Malaysia B-19 serta PSM Makassar.

Berdasarkan perkongsian pemerhati bola sepak tempatan, Piang Shankly, beliau mengatakan faktor ketiadaan Nenad adalah punca terbesar KL City menderita. Beliau adalah ‘otak’ dan punca kejayaan Bojan selama ini.

Manakan tidak, jika kita masih ingat, Nenad hadir ke KL City pada April 2021 dan selepas itu, mereka merekodkan 11 aksi tanpa kalah berturut-turut. Sebelum itu, mereka tewas tiga dalam 10 perlawanan awal Liga Super.

Adakah ini faktornya? Tidak dinafikan, ini juga salah satu faktornya.

Apabila Bojan kehilangan orang paling dipercayainya – Nenad, beliau barangkali susah untuk merancang dan menjadi tempang tanpa bantuan.

Begitupun, kemenangan 2-0 ke atas pasukan ampuh seperti Sabah adalah elemen penting yang diperlukan untuk bangkit daripada kekecewaan.

Diharapkan Bojan sudah menemui semula sentuhan untuk kembali KL City dalam rentak yang diperlukan untuk memberi saingan pada musim ini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN