Walaupun gagal untuk membawa pulang kejuaraan Piala AFC, namun Kuala Lumpur City (KL City) masih boleh berasa positif daripada kekalahan mereka ditangan Al-Seeb.
Hal ini kerana, persembahan cemerlang mereka dalam musim sulung di peringkat Asia telah membantu Malaysia untuk terus unggul sebagai negara ASEAN terbaik dari segi kutipan mata ranking AFC.
Berkat usaha yang dilakukan oleh skuad Bojan Hodak, KL City berjaya membantu Malaysia untuk memperoleh 23.300 mata untuk memastikan negara mendahuli mana-mana negara ASEAN.
Dalam kedudukan ranking mata AFC zon Timur, Malaysia hanya berada di belakang Jepun, Korea Selatan dan Hong Kong yang mempunyai kutipan mata lebih baik daripada negara.
Hasil daripada usaha KL City yang turut dibantu oleh Johor Darul Ta’zim dalam saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) membolehkan Malaysia memperoleh 51.837 mata – melebihi mana-mana negara ASEAN lain.
Dengan kutipan mata yang baik pada tahun 2022 dan jika momentum sama diteruskan, Malaysia dijangka akan memperoleh empat slot ke saingan ACL pada 2024.
Empat slot itu dipecahkan kepada dua pasukan akan memperoleh slot automatik ke ACL sementara bakinya perlu melalui saingan kelayakan terlebih dahulu.
Sementara itu, tiada slot untuk Piala AFC disediakan jika Malaysia memperoleh empat slot ACL pada 2024.
Perkembangan yang baik untuk Liga Malaysia dengan reputasi semakin dikenali, diharap pada tahun-tahun mendatang kekuatan pasukan negara akan mula mencapai taraf Asia.
Kredit gambar: AFC